Malaysia hanya menunggu lampu hijau daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza, Palestin bagi misi keamanan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Kata Adly hasrat itu sudah dipanjangkan kepada badan tersebut melalui Majlis Keselamatan PBB dan kini hanya menunggu mandat rasmi sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.
"Kita memang sentiasa bersedia menghantar pasukan pengaman bagi tugasan antarabangsa malah menyediakan satu batalion bagi misi sedemikian.
"Untuk menghantar pasukan tentera kita ke Gaza, kita juga perlu mengambil kira persetujuan penduduk Palestin selaras dengan pendirian Malaysia yang menekankan penyelesaian komprehensif memandangkan keamanan di Palestin memerlukan pendekatan menyeluruh," katanya.
Adly berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pertanyaan-pertanyaan lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, Melaka hari ini.
Dia berkata kerajaan sentiasa mengekalkan komitmen antarabangsa, dengan 150 anggota pengaman Malaysia Batalion (Malbatt) 850-12 kini bertugas di Lubnan dan dijangka berakhir pada hujung 2026.
"Pasukan kita sentiasa bersedia untuk digerakkan ke mana-mana lokasi yang memerlukan misi keamanan antarabangsa," katanya.
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Mohd Nizam Jaffar berkata Angkatan Tentera Malaysia masih menunggu arahan rasmi daripada PBB berhubung misi pengaman ke Gaza.
Mohd Nizam berkata ATM berada pada tahap kesiapsiagaan untuk diaturgerakkan ke sana bagi melaksanakan misi itu.
- Bernama
