PAS kelihatan terus cuba mengendurkan ketegangan parti lain terhadapnya ketika beberapa parti komponen BN menghantar isyarat yang mereka tidak senang dengan kepemimpinan tertinggi parti berkenaan.
Ketika polemik PN sesuai atau tidak menjadi rakan kepada MCA dan MIC, seorang ahli parlimen yang dilihat dekat dengan presiden cuba memberikan sudut pandang yang 'baru'.
Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, hari ini berkata jika ada mana-mana parti melihat parti itu dengan persepsi negatif, mungkin ada sebab lain yang menjadi punca.
"Jika rumah sebelah nampak pudar, mungkin bukan warna rumahnya yang perlu diperbaharui, tetapi cermin tingkap kita yang perlu dibersihkan.
"Saling berkenalan, saling memahami," katanya berkias, diikuti dengan tanda pagar #MCA, #MIC dan #PAS.
Kenyataan daripada Ahli Parlimen Bachok menyusul selepas MCA memberi bayangan mereka mungkin meninggalkan BN jika langkah parti itu kekal bekerjasama dengan PH selepas PRU akan datang.
Sambil menegaskan rasa tidak senang kepada PH yang dianggap banyak membuat pusingan U, Presiden MCA Wee Ka Siong juga mengingatkan bahawa BN tidak boleh berkembang jika terus mengatur gerak langkah seperti sekarang.
Pun begitu Wee berkata, menyertai PN bukanlah pilihan yang baik kerana keberadaan PAS dalam gabungan tersebut.
PAS kemudian menyarankan agar MCA datang berbincang dengan mereka untuk menjernihkan persepsi yang ada ketika ini.
Untuk rekod, selain MCA, MIC juga sudah seringkali menyatakan secara terbuka rasa tidak senang parti itu kepada Umno, khususnya presiden merangkap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, pula berpendapat MCA sebenarnya cuma menjadikan PAS sebagai alasan tidak menyertai PN sedangkan sebenarnya parti itu tidak yakin dengan kemampuan Bersatu.
