Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP tuntut Anwar laksana reformasi dalam 6 bulan, atau…
Diterbitkan:  Dec 9, 2025 5:18 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang, DAP akan menilai semula peranannya dalam kerajaan, kata setiausaha agung parti Anthony Loke.

Namun, dia menekankan bahawa ini tidak bermakna DAP – yang memegang bilangan kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat – akan menarik balik sokongan terhadap pentadbiran Anwar, sekali gus berisiko mencetuskan kekacauan politik.

Walaupun Loke tidak menyatakan secara khusus, penilaian semula itu mungkin termasuk DAP keluar dari kabinet dan menjadi penyokong kerajaan sahaja.

Anthony Loke

“Saya jelaskan hari ini, dan saya harap semua media akan memetik ayat ini – DAP tidak akan membiarkan kerajaan ini tumbang sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Ini kerana kita memegang 40 kerusi (parlimen). Jika (seseorang) menarik hanya dua kerusi, kerajaan tidak akan tumbang; tetapi jika kami menarik kesemua 40 kerusi, kerajaan akan runtuh,” katanya dalam wawancara dengan saluran YouTube bahasa Cina “The Keywords”.

‘Mesti ada perubahan’

Kenyataan ini menyusul selepas kekalahan teruk DAP dalam pilihan raya negeri Sabah pada 29 November, yang mereka tewas di kesemua lapan kerusi ditandingi.

Sebagai respons, kepimpinan pusat parti mengadakan mesyuarat tergempar, berjanji untuk mempercepat reformasi bagi mendapatkan semula keyakinan awam.

Pengkritik menuduh parti pembangkang yang lantang itu kini hilang suara setelah mendapat kuasa.

Loke berkata dalam tempoh enam bulan akan datang, kerajaan mesti menunjukkan perubahan yang ketara dan menawarkan harapan, sekali gus mengubah persepsi negatif awam.

“Saya tidak kata semua masalah boleh diselesaikan dalam enam bulan, tetapi kita mesti lihat beberapa perubahan – cukup untuk pengundi merasakan kerajaan ini masih ada harapan. Persepsi awam mesti diperbaiki.

“Jika persepsi tidak boleh diubah, maka selepas enam bulan kita mesti membuat keputusan muktamad, tetapi keputusan itu tidak bermakna kita  berhasrat untuk membiarkan kerajaan jatuh – sama sekali tidak,” tekannya.

“Selepas enam bulan, apa sahaja keputusan yang kita buat, kita sudah maklumkan kepada perdana menteri bahawa kita tidak akan menarik balik sokongan terhadapnya, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Bagaimana kita bergerak ke hadapan, bagaimana kita bertanding, bagaimana kita membuat persediaan untuk pilihan raya umum akan datang – ini akan dibincangkan kemudian,” tambahnya.

Perubahan ambil masa

Menyedari politik sentiasa berubah, Loke, yang mengambil alih jawatan setiausaha agung pada Mac 2022, berkata keutamaannya adalah untuk melihat reformasi berjaya.

“Kami mahu Anwar berjaya dan mentadbir satu lagi penggal, kerana jika Anwar berjaya dalam reformasi, bermakna Malaysia berjaya,” katanya.

Loke menekankan bahawa anggota DAP tidak berpaut kepada jawatan kerajaan dan “boleh melepaskannya pada bila-bila masa”.

“Jika saya meletak jawatan sebagai menteri esok dan kerajaan boleh mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan serta-merta, saya akan letak jawatan segera.

“Tetapi bukan begitu caranya, melepaskan jawatan tidak menyelesaikan semua masalah; mesti ada proses dan rancangan yang betul,” tambahnya.

Dia mengakui bahawa anggota DAP sendiri mempunyai “reaksi terdesak” selepas kekalahan parti di Sabah.

Dia justeru menyeru parti itu untuk meninggalkan PH atau menjauhkan diri daripada Anwar.

“Saya tidak boleh menerima pandangan sedemikian. Anggota boleh menyuarakan pandangan, tetapi sebagai setiausaha agung, saya mesti memegang pendirian teguh.

“Jika DAP memutuskan hubungan hari ini, adakah itu akan menyelesaikan segala-galanya? Adakah kita akan tiba-tiba lihat semuanya dilaksanakan? Sebab itu saya kata kita mesti memberi sekurang-kurangnya enam bulan untuk mencuba.

“Jika selepas itu kita masih tidak dapat menyelesaikan masalah, maka kita boleh bincang sama ada kita patut kekal dalam kerajaan,” tambahnya.

Pengiktirafan UEC

Dalam wawancara yang sama, Loke berkata kerajaan akan memperkenalkan dasar bahasa baru dalam tempoh enam bulan, yang termasuk pengiktirafan UEC.

“Mengapa isu UEC tidak pernah diselesaikan? Kerana ia sentiasa menjadi isu politik di Semenanjung.

“Saya harap pengundi Cina memahami bahawa kita (DAP) tidak putus asa meneruskan perkara ini. Tetapi dalam kerajaan, atau dalam pertimbangan perdana menteri, reaksi kuasa politik lain mesti diambil kira.

“Bagaimana kita mengimbangi segala-galanya, bagaimana kita membungkus dasar secara komprehensif, dan bagaimana kita menyelesaikan masalah ini dengan lebih berkesan?

“Oleh itu, perdana menteri mencadangkan dasar bahasa baru yang mengukuhkan semua bahasa, termasuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa Cina. Dan termasuk bahasa Cina bermakna menangani isu UEC,” tambahnya.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS