Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke sindir lagi Fuziah: Ada satu kerusi tapi umum boleh bentuk kerajaan?
Diterbitkan:  Dec 9, 2025 5:25 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Sebelum pengumuman rasmi keputusan rasmi pilihan raya negeri Sabah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh terlebih dahulu mengadakan sidang media mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memiliki cukup kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Langkah itu segera menjadi bahan sindiran. Ketika itu, PH hanya menang dua daripada 22 kerusi yang ditandingi. Jumlah itu kemudian menjadi hanya satu kerusi sahaja, itupun dimenangi oleh calon payung terjun GRS, selepas kiraan rasmi diumumkan.

Anthony Loke

Dalam wawancara bersama saluran YouTube berbahasa Cina, The Keywords, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke – yang partinya tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi – ditanya jika Fuziah ada memaklumkan kepadanya tentang sidang media tersebut.

Loke berkata DAP langsung tidak dimaklumkan, dan menyifatkan tindakan itu sebagai langkah yang salah.

“Pengumuman seperti itu tidak wajar dibuat; ia satu pengumuman yang mengundang sindiran. Pertama sekali, kamu hanya ada satu kerusi, apa yang kamu nak cakap tentang membentuk kerajaan negeri?

“Tambahan pula, pembentukan kerajaan negeri sepatutnya dibuat oleh parti terbesar, parti yang menang paling banyak kerusi, iaitu GRS,” katanya, sambil menambah bahawa Pengerusi GRS Hajiji Noor sepatutnya menjadi pihak yang membuat pengisytiharan tersebut.

Fuziah Salleh (tengah)

Loke turut menarik perbandingan dengan pembentukan kerajaan perpaduan selepas PRU lalu, yang pengumuman dibuat oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim, yang akhirnya menjadi perdana menteri.

Apabila ditanya sama ada tindakan Fuziah itu berpunca daripada keinginan untuk mendapatkan kedudukan dalam kerajaan negeri, Loke enggan membuat spekulasi.

“Saya tidak tahu sebabnya, tetapi saya rasa ini pengumuman yang tidak patut dibuat,” katanya, bersetuju dengan pengacara bahawa tindakan itu mencalarkan imej PH.

PRN Sabah kali ini menjadi satu kejutan besar bagi PH, khususnya DAP, yang menyaksikan hakisan undi Cina — kumpulan penyokong tradisi yang selama ini menjadi tonggak parti itu.

Dalam wawancara sama, Loke berkata DAP memberikan Anwar enam bulan untuk melaksanakan reformasi, dan selepas tempoh itu, parti akan menilai semula kedudukannya dalam kerajaan Madani.

Namun, dia menegaskan bahawa DAP yang memegang 40 kerusi Parlimen tidak akan menarik sokongan terhadap perdana menteri, kerana tindakan itu akan mencetuskan huru-hara politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS