Pengerusi DAP Gobind Singh Deo mengecam polis kerana melarang seorang wanita yang ingin melaporkan kemalangan masuk ke balai polis atas alasan pakaiannya.
“Polis tidak berhak mengenakan piawaian sepihak, sewenang-wenangnya dan/atau tidak munasabah kepada sesiapa pun.
“Sebaliknya, mereka mesti memastikan bahawa semua balai polis sentiasa boleh diakses oleh rakyat untuk membuat laporan polis.
“Apa lagi hakikat orang awam tidak memilih pakaian dengan menjangkakan akan jadi mangsa jenayah,” kata menteri digital itu dalam satu kenyataan hari ini.
Dilaporkan bahawa wanita itu dan anak perempuannya telah dihalang daripada memasuki ibu pejabat polis daerah Jasin semalam kerana skirtnya sedikit di atas lutut.
Dia berkata dia meminta pengecualian tetapi diberitahu bahawa dia perlu membeli seluar panjang sebelum dibenarkan masuk.
Menurut wanita itu, dia terpaksa membeli seluar dari pusat beli-belah berdekatan sebelum dia akhirnya dibenarkan membuat laporan polisnya.
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar mempertahankan tindakan pegawainya dan mengingatkan orang ramai bahawa kod pakaian terpakai di semua kaunter aduan, kecuali dalam keadaan kecemasan.

Dia menambah bahawa satu siasatan juga telah diadakan serta-merta mengenai kejadian itu.
Gobind bagaimanapun mengingatkan Dzulkhairi bahawa tujuan balai polis adalah untuk berkhidmat kepada orang ramai, melindungi rakyat, dan memudahkan pelaporan jenayah dan kemalangan - yang dikehendaki oleh undang-undang.
Tambahnya, menafikan hak seseorang untuk membuat laporan polis kerana pakaian mereka bukan sahaja merupakan penyalahgunaan kuasa tetapi juga menghalang keadilan.
Pemimpin DAP itu juga menegaskan bahawa dalam banyak keadaan, undang-undang mewajibkan pihak yang terjejas untuk membuat laporan sejurus selepas kejadian berlaku.
“Oleh itu, adalah menjadi tugas pegawai polis untuk memudahkan akses orang ramai ke balai polis untuk tujuan tersebut.
“Tumpuan segera pegawai polis yang bertugas sepatutnya adalah untuk membantu mangsa merekodkan butiran kejadian, dan bukannya menolak mereka seperti dalam kes ini,” tegas Gobind.
Sehubungan itu, menteri itu menggesa ketua polis negara untuk mengeluarkan arahan yang jelas kepada semua balai polis bahawa tiada mangsa atau pengadu yang ingin melaporkan kemalangan atau jenayah dinafikan hak mereka berdasarkan pakaian.
“Saya akan membangkitkan perkara ini dengan menteri dalam negeri dan meminta agar semua prosedur operasi standard sedia ada berkaitan dengan penyampaian laporan atau siasatan dikaji semula dengan segera.
“Kita mesti memastikan bahawa kejadian seperti ini tidak berlaku lagi,” tambah Gobind.
