Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beku aset di UK: Mahkamah izin Ilham Foundation, 5 syarikat jadi pencelah
Diterbitkan:  Dec 9, 2025 6:34 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

The Ilham Foundation dan lima syarikat lain hari ini dibenarkan mencelah permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membekukan beberapa bangunan komersial dan kediaman di London, United Kingdom (UK) bernilai £132 juta.

Aset berkenaan merangkumi dua bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court; tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate; dua unit kediaman di Gloucester Place serta satu akaun bank di CAF Bank Limited (UK) yang didakwa mempunyai hubungan dengan keenam-enam syarikat.

Selain The Ilham Foundation yang dikaitkan dengan isteri Allahyarham Daim Zainuddin iaitu Na'imah Abdul Khalid, syarikat lain ialah Copperfield Investment Holdings Ltd, Straits Properties Ltd, Newton Assets Global Ltd, Splendid International Ltd dan Catalyst Assets Ltd.

Hakim Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak timbalan pendakwa raya tidak akan diprejudis oleh permohonan enam syarikat berkenaan untuk menjadi pencelah.

“Peruntukan di bawah Seksyen 53 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 adalah satu tindakan in personam kerana perintah yang dipohon akan melarang pemilik hartanah daripada berurusan dengan hartanah terbabit,” katanya sambil menambah mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan permohonan itu.

Hakim turut memerintahkan keenam-enam pencelah memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh 30 hari.

Copperfield Investment Holdings Ltd dan Straits Properties Ltd diwakili peguam G Rajasingam, Sathya Kumardas dan Sharon Jessy; manakala empat syarikat lain diwakili peguam Nizamuddin Hamid, Abraham Au, Syed Afiq Syed Albakri dan Vam Shir Mooi.

Timbalan pendakwa raya Farah Ezlin Yusop Khan, Natrah Fareha Rahmat, Maziah Mohaide dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal hadir bagi pihak responden.

Pada 3 Jun lalu mahkamah membenarkan permohonan ex-parte SPRM untuk membekukan aset berkenaan.

Pada 22 Mei lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baru yang diterima daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Daim serta keluarga dan proksi.

Azam berkata maklumat terbaru itu menunjukkan pemilikan aset Daim, keluarga dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan pada 2023.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS