Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melancarkan stablecoin (mata wang krypto harga stabil) yang disandarkan kepada ringgit, yang direka untuk pembayaran meluas di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Bullish Aim Sdn Bhd, yang dipengerusikan dan dimiliki oleh baginda, memperkenalkan stablecoin RMJDT, yang disandar kepada deposit tunai mata wang tempatan dan bon kerajaan jangka pendek, kata individu yang mengetahui perkara itu tetapi enggan dikenali.
"Visi kami supaya stablecoin ini menjadi standard bagi pembayaran berasaskan kripto di Malaysia — memperkasakan perniagaan, pengguna, dan inovator dengan cara yang lebih pantas, lebih selamat, dan lebih cekap untuk berurus niaga," kata pengarah urusan Bullish Aim Lion Peh, dalam kenyataan pada Selasa.
Syarikat teknologi swasta di seluruh Asia giat meneruskan rancangan untuk melancarkan stablecoin tahun ini, dengan Hong Kong muncul sebagai lokasi utama selepas melancarkan set peraturan baru pada Julai.
Sebahagian dorongan itu datang dari Amerika Syarikat (AS), yang menerima pakai peraturan untuk mata wang kripto yang dipaut pada dolar, Julai lalu.
RMJDT akan dikeluarkan di Zetrix–teknologi yang menyokong inisiatif yang dipanggil Infrastruktur Blok Rantai Malaysia, platform sokongan kerajaan untuk perkhidmatan digital yang diperkenalkan pada April.
Wakil Tunku Ismail ketika dihubungi The Edge tidak memberi komen. Pejabat diraja Johor juga tidak membalas permintaan untuk komen media itu manakala Zetrix enggan mengulas.
