Spekulasi mengenai rombakan kabinet kembali hangat selepas kekosongan portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berlaku ekoran perletakan jawatan penyandangnya, Ewon Benedick, baru-baru ini.
Secara teknikalnya, menteri untuk Kuskop adalah milik PH kerana Ewon dilantik atas kapasitinya sebagai Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang sebelum ini menjadi parti komponen PH.
Bercakap kepada Malaysiakini, satu sumber di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang meneliti beberapa pilihan bagi memastikan keseimbangan antara politik persekutuan dan Sabah serta kekuatan PH di negeri itu dapat diperkukuh.
"Perdana menteri mahu keputusan ini selari dengan strategi menghadapi PRU ke-16, terutama di Sabah yang dilihat medan paling sukar untuk kerajaan perpaduan.
"Dua laluan utama sedang dipertimbangkan ialah menyerahkan kementerian itu kepada Warisan, atau memberi peluang kepada seorang pemimpin PKR Sabah," katanya.
Menurut sumber itu lagi, pilihan pertama mungkin boleh memberi kelebihan dari segi pemulihan hubungan politik Sabah selepas PRN lalu menyaksikan prestasi hambar PH walaupun bekerjasama dengan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"PH memerlukan rakan yang benar-benar mempunyai kekuatan akar umbi bagi mengekalkan kerusi parlimen sedia ada dan merampas yang baru pada PRU akan datang.

"Warisan antara nama yang dilihat paling logik memandangkan parti itu kekal sebagai antara pemain utama politik Sabah dengan menang 25 kerusi baru-baru ini.
"Desas-desus mendakwa sama ada Presiden Warisan (Mohd Shafie Apdal) akan dipilih, atau mungkin adiknya (Mohammad Yusof) akan dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh," katanya.
Untuk rekod Mohammad Yusof ketika ini menggalas jawatan timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi.
Sumber di JPM juga mengesahkan Anwar agak tegas tentang keperluan menambah suara dari Sabah dan Sarawak dalam pentadbiran persekutuan.
Peluang Ramanan memang tipis
Katanya, keputusan itu bukan sekadar mengisi kekosongan sebaliknya bakal menentukan hala tuju geopolitik kerajaan persekutuan di Sabah bagi PRU akan datang.
Bagaimanapun, seorang pemimpin PKR berkata cadangan memberikan kementerian itu kepada Warisan tidak semestinya jalan terbaik buat kerajaan.
"Kita kena ingat, kuota Kuskop PH dan PKR Sabah perlukan pengukuhan selepas PRN baru-baru ini.
"Kalau tanya saya, Mustapha Sakmud antara nama paling logik," kata pemimpin pusat itu yang enggan dinamakan.
Mustapha merupakan Pengerusi PKR Sabah, Ahli Parlimen Sepanggar serta sedang berkhidmat sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi.

Kata sumber tersebut, langkah melantik Mustapha akan dapat mengukuhkan kedudukan PKR di Sabah.
"Dengan Mustapha diangkat ke kabinet penuh, ia mesej bahawa kerajaan perpaduan serius memperkukuh pengaruh di Sabah, bukan sekadar bergantung pada rakan luar," katanya lagi.
Ketika ditanya apa peluang Naib Presiden PKR, R Ramanan, yang juga merupakan timbalan menteri Kuskop menggantikan Ewon, sumber itu membalas namanya telah hampir pasti diketepikan.
Katanya Ramanan baru dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Hal Ehwal India yang menyelaras isu masyarakat India termasuk Mitra, sekolah Tamil, rumah ibadat Hindu dan peruntukan komuniti estet.
"Dia baru diberi mandat besar. Perdana menteri mahu kestabilan dalam pengurusan hal ehwal India, dan rombakan segera tidak membantu.
"Jadi peluang melantik Ramanan sebagai menteri penuh pada waktu ini boleh dianggap agak tipis," katanya.

Sumber berkenaan juga berkata, selain itu Sabah hanya mempunyai seorang menteri penuh ketika ini iaitu Armizan Mohd Ali (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).
Katanya melantik Ramanan mungkin akan mencetus kemarahan pengundi Sabah kerana tiada tambahan wakil dari negeri itu dalam kabinet persekutuan.
Anwar sebelum ini berkata dia tidak akan tergesa-gesa mengisi kekosongan jawatan dalam kabinet walaupun sudah memikirkan nama-nama yang sesuai.
Katanya isu tersebut perlu dirujuk bersama-sama pemimpin parti dalam kerajaan Madani.
Menurut Anwar, setakat ini dia belum berbincang tentang perkara itu dengan Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, serta pemimpin DAP.
Namun, pemerhati menjangka rombakan kecil boleh berlaku pada bila-bila masa.
Selain di Kuskop, terdapat juga beberapa kekosongan dalam kabinet iaitu bagi portfolio menteri ekonomi, menteri sumber asli dan kelestarian alam, serta menteri pelaburan, perdagangan dan industri.
