Di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, dua beradik dari Ipoh, Perak berdiri dengan jubah konvokesyen tersarung pada badan masing-masing. Mereka menggenggam segulung ijazah hasil penat lelah selama ini.
Shaleni Prabalan, 26; dan Kavitiraa Prabalan, 27; sedang meraikan detik yang dinantikan selepas berjaya menggenggam segulung ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM.
Bagi mereka, kejayaan itu bukan sekadar penutup pengajian, tetapi tertunainya janji yang diikat sejak bertahun-tahun lalu.
Perjalanan mereka bermula selepas menamatkan diploma — Shaleni di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, manakala Kavitiraa di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak.
Ketika berbincang mengenai masa depan, mereka berjanji bahawa jika mahu menyambung pengajian ke peringkat ijazah, kedua-duanya akan memulakan perjalanan bersama dan tamat bersama.
Apabila kedua-duanya diterima masuk ke UPM dalam program yang sama, janji itu menjadi kompas sepanjang empat tahun pengajian.
Shaleni telah berkongsi tentang minatnya dalam bidang perakaunan yang bermula sejak tingkatan empat kerana subjek itu dilihatnya begitu tersusun, logik dan memerlukan ketelitian.
Namun bagi Kavitiraa, perakaunan bukanlah minat asalnya kerana dia bukan seorang yang teliti atau cenderung kepada kira-kira.
Dah berjuang separuh jalan
Namun dia tetap memilih bidang tersebut semata-mata untuk belajar bersama adiknya supaya mereka dapat saling bantu semasa di kampus.
“Itu merupakan antara pengorbanan yang terbesar yang dibuat oleh Kavitiraa, dan saya tidak pernah lupakan,” kata Shaleni kepada Malaysiakini.
Lama-kelamaan, melihat kesungguhan adiknya serta sokongan keluarga membuatkan Kavitiraa mula memahami nilai bidang berkenaan. Perakaunan bukan sekadar subjek pembelajaran, tetapi peluang masa depan.
Ketabahan itulah yang mendorong dia untuk terus bertahan hingga ke akhir.
Sepanjang empat tahun di UPM, mereka menempuh cabaran yang sama — tugasan bertimbun, jadual kelas padat dan tekanan semasa musim peperiksaan.

Untuk projek akhir tahun pula, mereka bertungkus-lumus menyiapkan tesis dengan sokongan pensyarah.
Ada ketikanya tekanan emosi hampir-hampir mematahkan semangat adik-beradik terbabit, namun setiap kali salah seorang seperti mahu mengalah, yang seorang lagi akan memberi semangat dan galakan.
“Kita dah separuh jalan, jangan berhenti,” pesan Kavitiraa yang sering mengembalikan semangat Shaleni.
Walaupun persaingan dalam kelas sengit, mereka tidak pernah berlumba sesama sendiri. Sejak awal, mereka sepakat: “Kami bukan pesaing. Kami rakan seperjuangan yang ingin membanggakan ibu bapa.”
Di sebalik kejayaan itu berdiri pula dua insan paling bangga — bapa mereka, Prabalan Arumugam, 64, dan ibu Sathiawani Muthu Veerasamy, 62.
Buka jalan jadi profesional
Prabalan merupakan seorang pesara manakala Sathiawani seorang suri rumah. Kedua-dua mereka tidak pernah berpeluang menyambung pelajaran tinggi, namun impian itu hidup melalui Kavitiraa dan Shaleni.
Adik lelaki mereka, Navinesswaran, 24, turut menjadi tulang belakang yang sentiasa membantu walaupun bekerja sebagai juruteknik pendawaian.
Kini, kedua-duanya bersedia memasuki dunia kerjaya dan ingin menceburi bidang perakaunan, audit atau kewangan korporat.
Shaleni juga baru diterima memasuki KPTiP–ACCA, iaitu satu program kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Ia menawarkan sijil profesional ACCA seperti Sijil Analisis Data (CertDA) dan Sijil Kelestarian Kewangan (CertSF) kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran kewangan dan profesionalisme mereka.

Menurut Kavitiraa, program tersebut dapat membuka laluan untuk mereka menjadi akauntan profesional bertauliah bertaraf antarabangsa.
Dia juga berharap kisah mereka boleh dijadikan inspirasi kepada anak muda lain untuk gigih berusaha demi masa depan masing-masing.
“Latar belakang sederhana bukan penghalang untuk berjaya. Dengan usaha, sokongan keluarga dan keyakinan untuk tidak berhenti di tengah jalan, kita mampu mencapai apa saja.
“Jika kami boleh berdiri di pentas graduasi bersama, orang lain juga boleh,” kata mereka dengan senyuman lebar.
Pasangan adik-beradik itu juga yakin kejayaan tersebut turut disumbang oleh doa, sokongan dan pengorbanan ibu bapa.
“UPM bagi kami bukan sekadar universiti, tetapi ia adalah tempat yang mengajar erti kekuatan, pengorbanan dan kasih adik-beradik. Kenangan di sini akan kekal selamanya,” kata mereka.
