Apabila Dr Annie Lin Sheng Yi tiba di Tawila, Sudan, selepas menempuhi perjalanan tiga hari dari Chad, dia segera sedar bahawa ini akan menjadi misi paling mencabar dalam kerjayanya.
Pakar bius dari Taiwan itu, yang dihantar oleh Doctors Without Borders atau Médecins Sans Frontières (MSF), pernah berkhidmat di Afghanistan dan Sierra Leone, namun tiada yang benar-benar mempersiapkannya untuk Tawila — sebuah kawasan terpencil dan berdebu dengan hospital yang serba kekurangan, hinggakan alatan diagnostik asas pun tiada.
Hospital dengan peralatan terhad dan hanya ada dua bilik bedah itu merupakan satu-satunya hospital yang berfungsi di kawasan itu.
Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) bertembung dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh rundingan serantau mahupun antarabangsa.
Menurut laporan PBB dan sumber tempatan, konflik itu telah meragut 20,000 nyawa dan memaksa lebih 15 juta rakyat Sudan menjadi pelarian serta hilang tempat tinggal.
Keadaan memburuk pada 26 Okt apabila El Fasher - sebuah bandar yang terletak 60km dari Tawila - jatuh ke tangan RSF. Dalam sekelip mata, Tawila mula menerima kebanjiran penduduk awam yang melarikan diri daripada keganasan.
“Sebelum itu, kami buat enam hingga lapan pembedahan sehari. Tetapi selepas kejatuhan El Fasher, jumlah pembedahan meningkat sehingga 24 sehari.

“Itu peningkatan tiga hingga empat kali ganda. Dan keadaan itu berterusan selama kira-kira dua minggu,” kata Dr Lin.
Dr Lin berkata kebanyakan penduduk yang melarikan diri mengalami kekurangan zat makanan yang teruk akibat kepungan RSF selama 18 bulan terhadap El Fasher, yang memutuskan bekalan makanan, ubat dan bantuan kemanusiaan.
“Kanak-kanak ini sangat kurang zat sehingga jika saya tidak tahu umur mereka, saya akan sangka kanak-kanak berusia tiga atau empat tahun baru berumur satu atau dua tahun,” katanya.
Tanpa pakar dan tanpa hospital rujukan yang berfungsi, Dr Lin selalunya terpaksa melakukan prosedur yang di luar kepakarannya.
Dia mengimbas kembali detik dia terpaksa mengeluarkan objek asing dari esofagus seorang bayi sembilan bulan yang telah muntah lebih sehari — satu prosedur yang biasanya dilakukan pakar ENT (telinga, hidung dan mulut).
Kematian seorang ibu yang masih menghantui
Antara begitu banyak kes trauma yang ditanganinya, satu kes masih membebankan perasaannya hingga kini.
Ketika melaksanakan pembedahan caesarean, jantung pesakitnya tiba-tiba terhenti. Pasukan perubatan berjaya menyelamatkannya, tetapi tanpa kemudahan imbasan, ujian darah atau pemantauan lanjutan, mereka tidak dapat menentukan punca ia berlaku.

“Kami langsung tidak ada X-ray, jadi kami tidak tahu punca keadaannya merosot mendadak.
“Walaupun degupan jantung dan tekanan darahnya kembali selepas CPR dibuat, dia tidak sedarkan diri. Dan sehari kemudian, dia meninggal dunia.
“Di Sudan, seorang ibu ada lapan hingga 10 anak adalah perkara biasa. Dan pesakit itu ada 10 anak. Jadi selepas hari itu, kami kehilangannya dan 10 anak itu kehilangan ibu mereka,” katanya lagi.
Ketika kakitangan MSF berjuang memastikan hospital Tawila terus beroperasi, ancaman lebih besar sedang menyelubungi sistem kesihatan Sudan yang sedia rapuh.
Menurut ketua komunikasi MSF Asia Pasifik, Polly Cunanan, Sudan sedang kini mengalami antara krisis kemanusiaan paling buruk dan paling diabaikan di dunia.
“MSF ialah satu-satunya hospital pada masa ini yang dikendalikan oleh NGO antarabangsa. Tiada organisasi lain yang menyediakan rawatan perubatan kepada penduduk, sedangkan mereka amat memerlukannya,” katanya.
