Dua orang peguam mengkritik Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berhubung kenyataannya mengenai pemakaian orang awam semasa membuat laporan polis.
Rajesh Nagarajan and Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata Dzulkhairi “tidak seharusnya mengulas tentang pakaian orang lain” di saat anggota di bawahnya berdepan dakwaan salah laku yang belum selesai.
Mereka juga menyifatkan Dzulkhairy fokus kepada “perkara bukan isu” namun berdiam diri berkenaan dakwaan serius melibatkan tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal di Melaka.
“Mana kemarahannya berkenaan perkara itu? Mana responsnya?” soal dua peguam itu yang mewakili keluarga tiga mangsa tersebut, yang didakwa ditembak mati oleh anggota polis.
Mereka juga menegaskan yang Dzulkhairi semasa sidang media pada 24 November telah memberikan naratif yang didakwa keluarga sebagai bercanggah dengan bukti yang ada.
““Keluarga mangsa telah mengeluarkan bukti yang menunjukkan ketiga-tiga lelaki ini dibunuh oleh tiga anggota polis di bawahnya.
“Isu sebesar ini — yang menyentuh secara langsung tanggungjawab polis, integriti operasi, dan kesucian nyawa — menuntut penjelasan segera, ketelusan, dan inkuiri bebas,” kata mereka.
‘Anggota polis tiada pilihan’
Pada minggu lalu, Dzulkhairi mendakwa pasukannya tiada pilihan selain menembak tiga lelaki itu, yang berusia antara 24 hingga 29 tahun, selepas salah seorang daripadanya melibas parang terhadap seorang anggota polis di ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Bagaimanapun, peguam keluarga menolak sepenuhnya penjelasan tersebut, berdasarkan rakaman audio yang kelihatan menunjukkan tiga lelaki itu sudah ditahan polis selama lebih 10 minit sebelum mereka ditembak dan dibunuh.
Rajesh dan Sachpreetraj berkata lagi, berbanding memberi perhatian terhadap insiden tembakan itu, Dzulkhairi memilih untuk membuat kenyataan stentang cara orang awam sepatutnya berpakaian semasa membuat laporan.
“Ketua Polis Melaka tidak sepatutnya membuat kawalan moral berkaitan pakaian rakyat Malaysia yang tampil membuat laporan,” kata mereka, sambil menambah bahawa polis sepatutnya fokus dalam memastikan orang awam boleh membuat laporan tanpa halangan.
Terdahulu, seorang wanita dan anak perempuannya dilaporkan dihalang daripada masuk ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Jasin dua hari lalu kerana memakai skirt yang lebih singkat daripada paras lutut.
Dzulkhairi mempertahankan perkara itu dan mengingatkan orang ramai bahawa kod pemakaian terpakai di semua kaunter laporan, kecuali untuk kes-kes melibatkan kecemasan dan memerlukan tindakan pantas polis.
‘Sediakan jubah’
Sementara itu, ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tajuddin Rasdi mencadangkan agar semua institusi perkhidmatan awam menyediakan jubah seperti di masjid untuk pengunjung yang tidak memenuhi kod pakaian.
“Saya ingin mengingatkan semua penjawat awam bahawa mereka pertamanya berkhidmat kepada rakyat, menyediakan perkhidmatan yang dibayar oleh rakyat Malaysia melalui cukai.”

“Oleh itu, saya berpendapat tidak wajar rakyat dilarang daripada mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan kerana pakaian mereka. Bagi saya, ini sama sekali tidak boleh diterima,” tegasnya dalam kenyataan.
“Sehubungan itu, saya ingin meminta semua institusi perkhidmatan awam menyediakan jubah seperti di masjid untuk pengunjung yang secara tidak sengaja tidak mematuhi kod pakaian yang ditetapkan.
“Lama-kelamaan, rakyat akan memahami keperluan ini, tetapi mereka tidak seharusnya dinafikan perkhidmatan yang diperlukan,” katanya lagi.
Katanya lagi, jika atas sebab tertentu institusi awam tidak atau kehabisan jubah, situasi kecemasan harus diutamakan berbanding perkara lain, dan individu tersebut mesti dibenarkan untuk menyelesaikan urusan mereka tanpa mengira pemakaiannya.
