Seorang ibu di Bandar Utama, Selangor mendedahkan kisahnya kepada umum, bagi mendapatkan penjelasan mengapa tuduhan rogol terhadap penyerangnya telah ditukar kepada kesalahan yang lebih ringan tanpa sebarang penjelasan.
Dalam siri hantaran di Facebook, ibu tunggal, Loh Wai Mun, 49, menceritakan semula serangan traumatik ke atasnya serta siasatan polis selepas itu, dengan mendakwa ada kelemahan serius dalam cara kesnya dikendali.
Dia malah kehilangan kerja selepas mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD) susulan kejadian yang berlaku pada 9 Jun lalu itu. Pada hari itu, dia menemani bekas jiran ke pejabat, di mana lelaki itu kemudian didakwa menahannya, memberinya dadah, dan melakukan serangan seksual terhadapnya.
Bekas pekerja dalam industri IT itu berkata walaupun pengalaman pahit itu terasa “tiada penghujungnya,” dia cuba menumpukan fikirannya kepada anak lelakinya, dan menekankan yang dia akur kepada permintaan pelaku kerana bimbang keselamatan nyawa dirinya dan anaknya.
“Saya tak menyesal tak melawan, terutama lepas dapat tahu dari polis yang penyerang ada sejarah keganasan rumah tangga. Kalau saya melawan, nyawa saya lebih terancam,” katanya.
Selepas ditahan pelaku selama kira-kira tiga jam, dengan dia berkata diserang berulang kali sepanjang tempoh itu, Loh terus membuat laporan di balai polis Kota Damansara pada jam tiga pagi, 10 Jun lalu.
Bagaimanapun, dia mendakwa anggota yang bertugas di kaunter menyuarakan keraguan terhadap kesahihan aduannya dan mengarahkannya untuk pulang dahulu dan mandi, sebelum bertemu pegawai penyiasat kemudiannya.
Selain kecewa apabila kesnya dipindahkan daripada pegawai penyiasat wanita kepada lelaki tanpa sebarang makluman awal, Loh juga berkata telah diperlakukan dengan kasar dan tidak sensitif semasa kunjungan ke tempat kejadian.
Katanya lagi, dia masih tidak mendapat maklumat mengenai analisis forensik pakaian dan pemeriksaan perubatan, serta tidak diberitahu jika ujian DNA telah dijalankan ke atas bukti yang diberikan.
Tuduhan dikurangkan
Menambah kesedihannya, Loh berkata walaupun pada 26 Jun lalu penyerang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas tuduhan rogol, tuduhan terhadapnya kemudiannya dikurangkan kepada kesalahan yang lebih ringan tanpa pengetahuannya.
Katanya lagi, dia dimaklumkan pada 14 November oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bahawa kes itu telah ditutup, dengan pihak polis berkata tertuduh mengaku bersalah terhadap tuduhan yang direndahkan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu untuk kesalahan menyerang dengan niat mencabul kehormatan.

Dia hanya mengetahu tentangnya selepas menghubungi pihak polis pada 12 November melalui surat.
Bagaimanapun, mahkamah telah pun menjatuhkan sabitan terhadap penyerangnya pada 23 Oktober dan menjatuhkan hukuman denda RM10,000.
Tertuduh membayar denda tersebut selepas mahkamah menetapkan hukuman tersebut.
Ketika dihubungi Malaysiakini, kelambatan pihak polis memaklumkan maklumat penting berhubung kesnya membuatkan dia merasa kecewa dan tertekan.
“Polis berkata dua saksi memadai (untuk kes ini) dan beritahu saya agar ‘jangan bagi banyak kerja’.
“Sebelum itu, ketika IO (pegawai penyiasat) berkata (penyerang) sudah didakwa, saya diberitahu bahawa itu bermakna polis ada cukup bukti, (tetapi) jika begitu, kenapa pertuduhan dikurangkan?” soalnya.
Tiada makluman tentang aduan keselamatan
Selain itu, Loh turut mendakwa pihak berkuasa tidak memberi maklum balas berhubung dua laporan polis berasingan yang dibuatnya ekoran bimbang terhadap keselamatan dirinya.
Dia membuat laporan itu pada 23 Jun dan 17 September selepas melihat penyerangnya menaiki motosikal di kawasan kejiranannya.
Walaupun tiadanya makluman polis berkenaan status laporannya, seorang anggota polis telah menghubungi Loh pada 19 November dan mengarahkan agar dia memadamkan hantaran di Facebook berkenaan kejadian itu, yang antara lain turut menamakan penyerangnya.
“(Polis) beritahu yang apa yang saya buat (dengan membuat hantaran Facebook) adalah salah, dan penyerang akan mengambil tindakan undang-undang jika saya tak turunkannya. Saya juga diberitahu untuk ke balai polis bagi memberi keterangan.
“Saya tanya dia kesalahan apa yang saya lakukan. Dia tak jawab dan dia juga tidak pernah hubungi saya semula mengenai perkara itu,” katanya lagi.
Dibawa ke Parlimen
Usaha Loh untuk mendapatkan penjelasan pihak berkuasa sebelum ini dibantu oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, yang pada 4 Disember lalu meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi respons terhadap kesulitan yang dialaminya.
Berucap di Kamar Khas Dewan Rakyat, Kok mempersoalkan mengapa tuduhan terhadap penyerang dikurangkan tanpa memaklumkan kepada mangsa.

Memberi jawapan bagi pihak KDN, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata KDN memandang serius sebarang dakwaan kecuaian atau ketidakpatuhan oleh anggota polis, terutamanya dalam kes keganasan seksual selain berkata polis menjalankan siasatan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Tuduhan alternatif atau dikurangkan digunakan dalam kes jenayah, termasuk kes rogol, sebagai langkah untuk mengelakkan pesalah terlepas daripada tanggungjawab kerana elemen tuduhan utama tidak dapat dibuktikan sepenuhnya.
“Dalam keadaan tertentu, seperti kes rogol, elemen rogol mungkin sukar dibuktikan. Bagaimanapun, mungkin masih ada bukti kukuh bahawa berlaku perlakuan seksual secara paksa,” katanya lagi.
Akan terus bersuara
Melangkah ke hadapan, Loh berkata dia akan terus bersuara mengenai penderitaan yang dialaminya kerana mahu wanita lain belajar daripada tragedi itu serta cabaran yang masih perlu dihadapinya selepas itu.
“Saya ingin beritahu semua orang agar tidak terlalu naif seperti saya untuk menganggap penguatkuasa undang-undang dan sistem kehakiman akan menjalankan tugas mereka.
“Ia pengalaman yang sangat menggentarkan. Saya tidak lagi keluar rumah. Saya tidak mahu anak perempuan orang lain mengalami nasib seperti saya — rasanya seperti hidup dalam neraka,” katanya lagi.
