Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Telefon rakam insiden di Durian Tunggal kini di tangan polis

Peguam yang mewakili keluarga tiga suspek lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka mengesahkan telefon bimbit yang mengandungi rakaman audio kejadian telah diambil oleh pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada siasatan.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata audio yang dirakam oleh salah seorang isteri lelaki terbabit membuktikan tidak berlaku sebarang serangan terhadap polis seperti didakwa sebelum ini.

“Kami akan serahkan peralatan asas kepada pihak polis untuk mereka menyiasat.

“Dakwaan serangan itu satu fabrikasi kerana langsung tiada apa-apa bukti di dalam audio (yang menunjukkan terdapat apa-apa perserangan kepada pihak polis).

“Sebaliknya, kita hanya boleh mendengar ketiga-tiga lelaki itu menjerit kesakitan dan arahan diberi kepada mereka supaya duduk, baring dan sebagainya.

"Apa yang polis katakan (berhubung insiden itu) langsung tidak masuk akal,” katanya kepada pemberita di luar Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Rajesh berkata bahawa ahli keluarga suspek penjenayah itu juga telah dipanggil untuk memberikan keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan selepas lebih seminggu laporan polis dibuat.

Dalam kejadian 4.30 pagi 24 Nov lalu, tiga suspek lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripadanya didakwa melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Kejadian pada 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal yang berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.

Soalan tidak berjawab

Kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan mereka dikatakan aktif melakukan jenayah sejak 2024 dan terlibat dalam 20 kes di Melaka, selain masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

Kumar juga dilaporkan berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pejabat Polis Kontinjen Melaka menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan sebagai cubaan membunuh.

Bagaimanapun, salah seorang peguam keluarga mangsa, Latheefa Koya mempersoalkan perkara itu kerana menurutnya, tiga lelaki itu telah ditembak mati dan maka ia sepatutnya disiasat dibawah Seksyen 302 kerana membunuh.

Mengulas lanjut, Rajesh berkata ahli keluarga suspek juga telah dipanggil untuk memberikan keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan selepas lebih seminggu laporan polis dibuat.

Rajesh juga mempersoalkan jika anggota polis terlibat telah dikenakan tindakan, sama ada digantung tugas atau diberi cuti sementara siasatan dijalankan. 

Berhubung pasukan petugas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu, Rajesh berkata pihak keluarga masih belum dimaklumkan siapakah yang menganggotainya.

“Kami sudah menulis surat kepada Bukit Aman, tetapi tiada jawapan. Apa yang mereka tunggu?” soalnya.

Sementara itu, selepas lebih tiga jam berada di Bukit Aman, ahli keluarga tiga lelaki terbabit selesai memberikan keterangan kepada pihak berkuasa hari ini.

Bagaimanapun, Rajesh berkata, proses itu sekali lagi menimbulkan tanda tanya apabila banyak soalan penting mengenai status siasatan masih tidak berjawab.

Menurut peguam itu, pihak keluarga terlebih dahulu diberi taklimat oleh Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-Undang, JSJ Bukit Aman, ACP Mohd Fazley Ab Rahman, yang memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus.

Namun, dakwa Rajesh, jaminan itu tidak disertai maklumat kukuh apabila soalan kritikal tidak dijawab.

“Kami tanya sama ada kes ini sudah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 (bunuh) atau tidak, tetapi tiada jawapan diberi.

"Kami tanya lagi, apa status pegawai yang didakwa melepaskan tembakan sama ada telah digantung tugas, disiasat, dibuang kerja atau diberi cuti. Tiada satu pun dapat dijawab,” katanya.

Menurut Rajesh pihak keluarga kecewa kerana maklumat asas seperti tindakan terhadap anggota terlibat sepatutnya dimaklumkan sejak awal.

Dia turut mempertikaikan mengapa identiti dan senarai penuh anggota pasukan khas yang ditubuhkan pihak polis bagi menyiasat kes berkenaan masih dirahsiakan.

“Kami hanya diberitahu ia diketuai seorang pegawai berpangkat Senior Asisten Komisioner. Nama pun tidak diberikan. Kenapa rahsiakan?" katanya.

Menurut Rajesh, keluarga mahu tahu siapa yang menyiasat, memandangkan kes melibatkan kematian tiga individu yang didakwa berada dalam kawalan polis sebelum ditembak mati.

“Kami mahukan ketelusan penuh seperti yang disebut perdana menteri, tetapi apa yang diberikan hari ini bukan saja separuh, malah ada yang langsung tidak diberikan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS