Ekoran tiada sebarang perkembangan yang dianggap positif berhubung siasatan kematian tiga suspek penjenayah di Melaka baru-baru ini, peguam yang mewakili keluarga terbabit mendakwa dia kini berada dalam ketakutan.
Menurut Rajesh Nagarajan, dia kini berasa khuatir jika pulang pada waktu malam.
Katanya ketakutan itu berpunca daripada "kegagalan" pihak polis mengklasifikasikan insiden tersebut sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan siasatan dijalankan secara telus.
“Ini merupakan isu kepentingan awam yang menunjukkan jika tiga individu itu boleh dibunuh dengan sewenang-wenangnya, macam mana dengan kita, rakyat biasa ini.
“Saya pun takut. Malam-malam saya pergi tengok wayang dan balik rumah jam 12 tengah malam , (kalau) tiba-tiba kena tahan (dimana-mana, kemudian) kena tembak.
“Takut ke tak? Saya takut. Saya India," katanya kepada pemberita di luar pekarangan Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Rajesh, sangat penting untuk polis menjalankan siasatan secara telus seperti yang dikehendaki perdana menteri.
Dalam kejadian 4.30 pagi 24 Nov lalu, tiga suspek lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripadanya didakwa melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kejadian pada 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal yang berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan mereka dikatakan aktif melakukan jenayah sejak 2024 dan terlibat dalam 20 kes di Melaka, selain masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor.
Jenayah tersebut dipercayai menyebabkan kerugian kira-kira RM1.35 juta.
Media pada 3 Dis lalu melaporkan ahli keluarga tiga suspek itu menolak dakwaan mereka bertindak ganas dengan menyerang pasukan polis.
Keesokannya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
