Keluarga Teoh Beng Hock mengalu-alukan agenda pembaharuan DAP dan menyambut baik desakan parti berkenaan agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diiktiraf di negara ini.
Bagaimanapun, mereka masih tertanya-tanya jika DAP juga akan menunjukkan kesungguhan yang sama dalam usaha "mencari keadilan" buat Beng Hock yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan ketika dia berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.
"Kami menyeru DAP untuk menunjukkan keazaman yang sama ke atas kes Beng Hock untuk menegakkan keadilan, kewajaran, kepercayaan, dan akauntabiliti institusi," kata kakak mendiang, Teoh Lee Lan, dalam kenyataan hari ini.
Kata Lee Lan, DAP mesti tahu mengapa kes Beng Hock terus diungkit selepas bertahun-tahun berlaku.
Hal itu kerana, kata Lee Lan, ia bukan sekadar melibatkan satu kes, sebaliknya insiden tersebut melambangkan asas yang mesti ada dalam sesebuah negara iaitu kebenaran mesti ditegakkan, dan kesilapan sistem mesti dibetulkan.
DAP tampil dengan agresif selepas parti itu mencatat prestasi amat buruk dalam pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung akhir bulan lalu.
Parti itu meletakkan calon di enam kerusi di Sabah namun menerima tamparan hebat apabila tiada satu pun yang dimenangi.
Mengapa tiada jawapan
Beberapa hari kemudian DAP memberitahu mereka menetapkan tempoh enam bulan untuk kerajaan melaksanakan beberapa pembaharuan - yang tidak dinyatakan - dan jika gagal, parti itu akan mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan kabinet walaupun tetap menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Sebahagian daripada agenda DAP itu termasuklah usaha untuk mendapatkan pengiktirafan UEC.
Lee Lan menyatakan lima tahun yang lalu, Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng, juga telah membuat ikrar yang serupa kepada keluarga Teoh semasa upacara memperingati Beng Hock.
"(Lim berkata) jika PH kembali berkuasa, satu tarikh akhir akan ditetapkan untuk membuka semula dan membatalkan keputusan kes Beng Hock.
"Dia juga menekankan bahawa DAP tidak akan mengabaikan Teoh Beng Hock dan tidak akan membiarkan pelaku terlepas daripada hukuman.
"Namun lima tahun kemudian, mengapa tiada jawapan, tiada arahan, dan tiada tarikh akhir?" soalnya.

Pada 2009, Beng Hock - yang ketika itu merupakan pembantu exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui jatuh dari tempat tinggi. Dia ketika itu disoal siasat semalaman oleh SPRM Selangor.
Ketika itu Ibu Pejabat SPRM Selangor terletak di Plaza Masalam di Shah Alam.
Suruhanjaya siasatan diraja pada 2011 memutuskan bahawa dia terdorong untuk membunuh diri kerana soal siasat yang agresif.
Bagaimanapun, pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematian Beng Hock disebabkan atau dipercepatkan oleh tindakan yang menyalahi undang-undang, termasuk dalam kalangan pegawai SPRM.
Pada 21 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis untuk menyelesaikan siasatan terhadap kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Pada Mei lalu Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).
Kemudian bulan berikutnya, SPRM membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Teoh dan menawarkan untuk membayar "sumbangan ihsan" khususnya bagi menyokong kebajikan dan keperluan pendidikan anak tunggal mendiang.
Bagaimanapun keluarga Teoh menolak kedua-dua tawaran SPRM tersebut.
