Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Desakan reformasi DAP hanya sandiwara bagi raih semula sokongan'

Seorang pemimpin MIC hari ini menempelak kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan menilai semula kedudukannya dalam kerajaan dalam tempoh enam bulan sekiranya reformasi gagal dilaksanakan.

Bercakap dengan Malaysiakini, Ahli Majlis Kerja Pusat MIC RT Rajasekaran mempersoalkan alasan DAP menunggu sehingga tiga tahun sejak menjadi kerajaan sebelum mendesak pelaksanaan reformasi yang mereka sendiri janjikan.

"Mengapa perlu menunggu enam bulan untuk menilai sama ada reformasi kerajaan akan berjaya atau tidak? DAP adalah parti terbesar dalam kerajaan.

"Mengapa hanya selepas tiga tahun baru timbul desakan untuk melaksanakan reformasi yang kalian sendiri janjikan?" soalnya.

"Masyarakat bukan bodoh. Mereka nampak bahawa ini hanya sandiwara politik untuk meraih sokongan semula menjelang PRU-16," tambahnya.

Menurutnya lagi, pelbagai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) kekal sekadar impian tanpa pelaksanaan yang jelas, dan hanya selepas kekalahan besar kerajaan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah barulah DAP tampil dengan suara lebih lantang.

Rajasekaran mengulas kenyataan Loke yang juga menteri pengangkutan yang berkata bahawa jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang, DAP akan menilai semula peranannya dalam kerajaan.

Loke bagaimanapun menekankan bahawa ini tidak bermakna DAP yang memegang bilangan kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat akan menarik balik sokongan terhadap pentadbiran Anwar, sekali gus berisiko mencetuskan kekacauan politik.

Walaupun Loke tidak menyatakan secara khusus, penilaian semula itu mungkin termasuk DAP keluar dari kabinet dan menjadi penyokong kerajaan sahaja.

Mengulas lanjut, Rajasekaran berkata jika benar DAP mempunyai keberanian politik, semua isu itu sepatutnya dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet, bukan melalui kenyataan media.

Dia juga mengkritik kelemahan pentadbiran beberapa kementerian diketuai pemimpin DAP, termasuk kontroversi peraturan baru pemandu lori, isu MAHB seperti kerosakan Aerotrain KLIA, serta pembentangan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menurutnya tergesa-gesa.

"Kelemahan dasar, komunikasi, dan pentadbiran dalam kementerian-kementerian kamu sendiri menyumbang kepada kekalahan besar kerajaan di Sabah.

"Retorik reformasi yang tiba-tiba lantang selepas tewas lapan kerusi di Sabah menunjukkan DAP lebih berminat mengawal kerosakan politik berbanding memenuhi harapan rakyat.

"Ini bukan perjuangan demi kebenaran atau peningkatan taraf hidup rakyat. Ini hanyalah cubaan menutup kegagalan politik sendiri setelah tewas teruk di Sabah," katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS