Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syahredzan yakin PH kekal utuh jika DAP tinggalkan kabinet
Diterbitkan:  Dec 10, 2025 4:39 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Walaupun berdepan dengan tuntutan reformasi yang diberikan tempoh enam bulan oleh DAP, seorang ahli parlimen parti itu yakin kedudukan kerajaan tetap kukuh dan tidak berdepan dengan risiko runtuh.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata jika tuntutan DAP itu tidak dipenuhi dalam tempoh yang diberikan, tindakan yang mungkin diambil oleh parti itu ialah dengan keluar dari kabinet, namun kekal sebagai komponen PH.

Pada masa sama, Syahredzan menegaskan bahawa keinginan melaksanakan pembaharuan institusi itu bukanlah agenda DAP semata-mata bahkan dikongsi bersama oleh PH sebelum ini.

"Mempergiatkan usaha untuk meneruskan pembaharuan institusi pada tahun hadapan adalah langkah ke arah kembali kepada asas.

"Ramai yang mungkin terlupa, tiga parti teras PH - iaitu DAP, PKR dan Amanah - bukanlah kawan baru.

"Ya, memang ada pertikaian, perbalahan, kritikan dan juga serangan antara kami, tetapi kami kekal bersama dan akan terus bersama," katanya.

Dalam PRN Sabah yang berlangsung 29 Nov lalu, PH mengalami kekalahan teruk apabila memenangi hanya satu kerusi di sebalik pelbagai strategi dan kerjasama yang dijalin dengan parti lain.

Isu UEC mungkin beri kesan

Satu-satunya kerusi yang dimenangi PH ialah Melalap melalui calon PKR, Jamawi Ja'afar. DAP pula kalah di semua lapan kerusi yang ditandingi.

Reaksi segera yang ditunjukkan DAP hasil keputusan di Sabah itu - antara lain - ialah memberi kata dua kepada kerajaan pimpinan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, agar segera melaksanakan pembaharuan institusi.

DAP memberikan tempoh enam bulan kepada Putrajaya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata jika sehingga tarikh akhir itu perubahan yang dituntut tidak dipenuhi, parti itu akan "mempertimbangkan semula" kedudukannya dalam kabinet, namun tetap terus menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

DAP juga menjadi semakin lantang dengan pemimpin seperti Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyuarakan kritikan tegas terhadap ketidakadilan yang dirasakan oleh parti tersebut.

Walaupun begitu, Syahredzan berkata hubungan dalam PH kekal mesra seperti apa yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi.

"Saya boleh sahkan bahawa mesyuarat itu berjalan lancar dan tenang, dengan semangat perpaduan dan keazaman untuk melakukan yang terbaik.

"Tiada perbalahan, jeritan, dan pastinya tiada ugutan," katanya.

Menurut Syahredzan, kenyataan dikeluarkan Fahmi Fadzil selaku jurucakap PH selepas mesyuarat itu juga jelas menunjukkan gabungan berkenaan berkongsi pendapat berhubung keputusan PRN Sabah dan memberikan komitmen untuk meneruskan reformasi.

Dia merujuk kepada kenyataan rasmi Fahmi yang menyatakan bahawa PH memutuskan supaya beberapa perkara berhubung reformasi institusi perlu diberi keutamaan dan diusahakan dengan lebih tegas dalam masa terdekat.

Mesyuarat turut memutuskan bahawa Konvensyen Pakatan Harapan akan diadakan pada suku pertama tahun depan bagi menetapkan fokus keutamaan usaha reformasi serta hala tuju negara bagi dua tahun ke mendatang.

Walaupun Syahredzan melihat hubungan antara parti PH kekal cerah - malah DAP akan memberikan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri sekali lagi - realiti sentimen awam terhadap gabungan itu mungkin berbeza.

Salah satu isu yang sedang diusahakan oleh DAP ialah agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf bagi kemasukan ke universiti di negara ini. Desakan itu mula membangkitkan sentimen perkauman dan mungkin menjadi titik perpecahan.

Anwar sedang bergelut untuk mendapatkan sokongan orang Melayu, terutamanya daripada golongan konservatif, dan tentangan terhadap DAP terkait isu UEC mungkin akan mempengaruhi keputusan perdana menteri untuk memberi lampu hijau atau tidak.

Pada masa sama, sokongan bukan Melayu terhadap Anwar dan PH juga semakin merosot seperti yang ditunjukkan oleh prestasi buruk DAP dan PKR di Sabah baru-baru ini.

Sokongan pengundi bukan Melayu merupakan demografi utama bagi PH dan gabungan itu berdepan masalah dalam PRU akan datang jika ia tidak ditangani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS