Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M ajak PM, Tengku Zafrul jelaskan ART di Konvensyen Perkara 153

Sekretariat Orang Melayu pimpinan Dr Mahathir Mohamad mengajak tokoh utama negara menghadiri konvensyen bagi membincangkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, sekali gus membuka ruang kepada mereka menjelaskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan AS.

Kata Mahathir, penganjur sedia menerima kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, atau bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang terlibat secara langsung dalam pemeteraian ART.

Dalam keadaan negara tidak boleh mengadakan rapat umum, kata Mahathir, sekretariat itu berharap orang yang dijemput dapat hadir termasuklah melibatkan ahli politik, NGO dan orang perseorangan.

“Umno pun boleh (hadir), kalau perdana menteri nak datang pun boleh. Kalau Tengku Zafrul yang pandai fasal ini (ART) nak datang buat penjelasan, kita sedia terima,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Terdahulu Mahathir sekali lagi mengulangi kebimbangan berhubung ART dan satu perjanjian ketenteraan antara kerajaan Malaysia dan AS selepas empat hari ART ditemerai.

Mendakwa mendapat "banyak maklumat baru" berkaitan perjanjian tersebut, Mahathir berkata, kandungannya sedang disembunyikan oleh kerajaan.

“Saya mendapat banyak maklumat baru berkenaan dalam negara iaitu kaitan kita dengan perjanjian ini lebih berbahaya daripada yang kita sangka.

“Tulisan dalam ART ini menunjukkan kita sudah jadi satelit kepada AS kerana kita terlibat sampai ke tahap tentera, dan dasar-dasar luar negara AS," katanya.

Tambah Mahathir pihaknya mempersoalkan kenapa kerajaan tidak mengumumkan kandungan perjanjian tersebut kerana ia dianggap membawa kesan amat buruk kepada Malaysia.

"Itu kita nak tanya nak tahu - apa isi kandungannya, dan apa tindakan perlu rakyat suarakan,” tegasnya lagi.

Difahamkan dia merujuk kepada perjanjian kerjasama pertahanan antara Malaysia dan AS yang dimeterai pada 31 Okt lalu.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata perjanjian itu menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan ketenteraan dua hala serta mempertingkat keselamatan serantau.

Sementara itu mengulas mengenai Konvensyen Perkara 153, Mahathir berkata program berkenaan akan diadakan pada 13 Dis ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Maklumat Pelancongan (Matic), Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS