PN mengambil ketetapan bahawa wakil tunggal gabungan itu di dalam DUN Sabah, Aliakbar Gulasan, kekal sebagai wakil rakyat pembangkang.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, hari ini berkata dia dimaklumkan oleh PAS yang Adun Karambunai berkenaan akan kekal sebagai wakil rakyat biasa dan tidak menyertai kerajaan Sabah.
“(Soal) dia menyertai kerajaan tidak berbangkit. Semalam pun ada mesyuarat tanya pendirian sebab kita nak dapat pandangan daripada pemimpin PAS.
"Jadi dia akan kekal sebagai pembangkang,” katanya kepada media di Putrajaya.
Aliakbar mencatat sejarah tersendiri selepas menjadi Adun PAS pertama memasuki DUN Sabah melalui pilihan raya negeri yang berlangsung pada 29 Nov lalu.

Dia mengalahkan 10 calon lain termasuk penyandang - Yakub Khan dari BN - dengan majoriti kurang daripada 400 undi.
Bagaimanapun untuk rekod keberadaan Aliakbar dalam DUN Sabah bukan kali pertama kerana dia pernah dibawa masuk ke situ melalui pelantikan kerajaan negeri. Ketika itu PN merupakan sekutu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sebelum ini timbul tanda tanya mengenai kedudukan Pesuruhjaya PAS Sabah berkenaan sama ada dia akan terus memberi sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteir, Hajiji Noor, atau sebaliknya.
