Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam gesa ketelusan isu serbuan sauna
Diterbitkan:  Dec 10, 2025 6:53 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Suhakam berkata serbuan pada 28 November di sebuah pusat kesihatan di Kuala Lumpur dan penangkapan terhadap lebih 200 lelaki menimbulkan persoalan tentang proses sewajarnya, perlindungan undang-undang, dan layanan terhadap tahanan.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia mempersoalkan mengapa penangkapan beramai-ramai dibuat sedangkan tiada bukti untuk membantu polis meneruskan kes tersebut.

"Tidakkah tindakan penahanan secara tergesa-gesa itu sendiri boleh dianggap sebagai pelanggaran Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh dilucutkan nyawa atau kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang?" soalnya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata pihak berkuasa tidak boleh mendakwa mana-mana tahanan, kerana tiada seorang pun daripada mereka mendakwa sebagai mangsa eksploitasi, pelacuran, atau seks luar tabii.

Menurut laporan berita, serbuan di premis Jalan Raja Laut itu susulan maklumat awam dan pengawasan selama dua minggu. Lelaki yang ditangkap berumur antara 19 dan 60 tahun.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Azani Omar, dipetik sebagai berkata bahawa risikan yang dikumpul menunjukkan terdapat aktiviti tidak bermoral di premis yang melibatkan lelaki gay.

Mereka yang ditangkap termasuk 80 individu beragama Islam dan warga asing dari Korea Selatan, Indonesia, Jerman, dan China.

Dengan 17 penjawat awam antara yang ditahan, Suhakam menekankan bahawa tindakan tatatertib mesti mematuhi Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang menggariskan prosedur yang adil dan saksama untuk siasatan, proses tunjuk sebab dan siasatan tatatertib.

Suruhanjaya itu berkata ini diperkukuhkan oleh Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang pemecatan atau penurunan pangkat penjawat awam tanpa diberi peluang yang munasabah untuk didengar.

"Perlindungan ini memastikan keputusan tatatertib dibuat secara adil, berdasarkan fakta dan undangundang, dan bukan atas andaian awal atau prejudis," tegasnya.

Ia juga menyatakan kebimbangan mengenai laporan bahawa identiti individu yang terlibat dalam serbuan itu telah didedahkan.

"Pendedahan kepada umum sebelum fakta dibuktikan boleh mendatangkan mudarat yang tidak sepatutnya dan tidak selaras dengan penjagaan maruah manusia serta piawaian hak asasi

manusia, termasuk prinsip-prinsip yang digariskan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat," tambahnya.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mempertahankan serbuan itu dengan mengatakan bahawa ia tidak melanggar privasi mereka yang ditangkap.

Mengenai serbuan itu sendiri, Suhakam menyorot laporan bahawa ia telah dijalankan dan tangkapan dibuat secara tergesa-gesa walaupun tiada mangsa yang boleh dikenal pasti.

Ia menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang melibatkan tingkah laku peribadi dan tangkapan mesti berasaskan maklumat yang disahkan dan bukti yang boleh dipercayai.

Selain itu, Suhakam menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan empat langkah utama:

i. Segala penyiasatan dijalankan secara telus, objektif dan berdasarkan bukti yang disahkan.

ii. Hak individu yang terlibat, termasuk pegawai awam, dipelihara sepenuhnya selaras dengan

Peraturan 1993 serta jaminan perlembagaan.

iii. Identiti peribadi dilindungi sehingga proses wajar diselesaikan dan dapatan ditetapkan.

iv. Proses tatatertib tidak dimulakan atau dimuktamadkan secara tergesa-gesa sebelum semua fakta

dinilai dengan sewajarnya.

"Suhakam sekali lagi menegaskan bahawa pematuhan terhadap proses wajar adalah penting bukan sahaja untuk melindungi hak individu, tetapi juga untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan dan tatatertib.

"Penyiasatan yang adil dan telus serta pematuhan terhadap proses wajar mengukuhkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan integriti perkhidmatan awam Malaysia," tambahnya.

Selepas serbuan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan bahawa Unit Integriti diberi kuasa untuk menyiasat pegawai awam atas dakwaan tingkah laku tidak bermoral atau tidak beretika.

Mereka yang didapati bersalah di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) boleh menghadapi tindakan tegas, termasuk penurunan pangkat atau pemecatan, kata Ketua Pengarah JPA Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud juga berkata bahawa seorang pegawai tadbir dan diplomatik yang merupakan antara mereka yang ditahan telah diarahkan untuk meletak jawatan.

Walaupun kenyataan Mustapha tidak memperincikan jenis kesalahan itu, Malaysiakini menghubunginya dan menerima pengesahan bahawa ia berkaitan serbuan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS