Seramai 24 pelajar Malaysia dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membawa pulang pelbagai pencapaian berprestij pada World Robot Games (WRG) 2025, dengan merangkul lebih 80 pingat merentas sembilan kategori utama.
Antara kemenangan paling ketara ialah kejayaan merangkul gelaran juara dalam kategori Sumo Junior dan Drone Soccer, dua kategori yang dianggap antara paling kompetitif dalam kejohanan tersebut.
Selain dua kemenangan utama itu, pasukan Malaysia turut menampilkan prestasi konsisten dalam kategori Sumo, Drone Soccer dan Soccer apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok terbaik dunia.
Peserta negara meraih kedudukan tempat ketiga, keempat, kelima, keenam dan kelapan, menandakan peningkatan ketara berbanding penyertaan tahun sebelumnya.
Dalam kategori AI Inovasi, Malaysia menunjukkan dominasi luar biasa apabila 11 daripada 12 pasukan berjaya membawa pulang pingat menerusi pencapaian Emas, Perak dan Gangsa. Keputusan itu meletakkan Malaysia sebagai antara negara paling menonjol dalam bidang inovasi kecerdasan buatan pada edisi kali ini.

Kategori Line Tracer pula menyaksikan pasukan negara mengekalkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dengan ranking antara tempat keempat hingga kesembilan satu pencapaian yang menunjukkan konsistensi dan peningkatan berbanding penyertaan terdahulu.
Turut mencuri tumpuan ialah kejayaan seorang pelajar Malaysia yang muncul sebagai penerima pingat terbanyak WRG 2025, setelah memenangi enam pingat dalam enam kategori, sekali gus mencatat rekod baru dalam sejarah kejohanan tersebut.
Terdahulu, Akademi Syscore berkata kejohanan kali ini berlangsung dari 25 November hingga 1 Disember dengan lebih 1,000 peserta dari 10 negara, termasuk kuasa besar teknologi seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
"WRG dianggap antara kejohanan robotik pendidikan paling berpengaruh di rantau ini, menguji aspek pengaturcaraan, kejuruteraan robot, penyelesaian masalah dan inovasi pelajar.
"Malaysia sebelum ini mencatat keputusan terbaik pada edisi 2024 di Nanyang Polytechnic, Singapura, apabila membawa pulang pelbagai anugerah antarabangsa dalam kategori Sumo Robot, Programming dan Innovation Project.
"Pencapaian tersebut menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh latihan intensif sejak awal 2025, terutama dalam aspek pengaturcaraan, rekabentuk robot, kerja berpasukan serta kemahiran komunikasi elemen penting dalam persaingan peringkat global," kata pengarah urusan Syscore Kalitazan Gannesa, dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pasukan 2025 terdiri daripada pelajar SJKT serta bekas pelajar yang disaring melalui pertandingan negeri dan kebangsaan.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya melalui Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil yang menjadi elemen penting pembinaan pasukan kali ini.
"Usaha bersepadu itu dilihat membantu memperkasa pendidikan STEM di sekolah Tamil, sekaligus membuka peluang kepada pelajar luar bandar dan komuniti B40 meneroka teknologi moden," katanya.

Sementara itu, exco kerajaan negeri Pulau Pinang Sundarajoo Somu mengucapkan tahniah kepada pelajar yang menyertainya.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah mengharumkan nama Malaysia di WRG 2025. Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan bagi komuniti Tamil tetapi juga untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Pulau Pinang.
"Semoga kejayaan cemerlang ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar Tamil untuk berani bermimpi besar dan terus mencipta sejarah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sundarajoo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang berkata tanggungjawab kerajaan negeri adalah untuk terus memperkukuhkan kualiti pendidikan Tamil, termasuk memperluas akses kepada STEM, robotik dan teknologi, supaya lebih ramai pelajar dapat berdiri di pentas antarabangsa.
