Pengurusan Saloma Kuala Lumpur hari ini menafikan dakwaan berunsur fitnah yang mengaitkan premis itu dengan beberapa aktiviti meragukan dan memberikan gambaran negatif terhadap syarikat berkenaan dan operasinya.
Saloma Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan dakwaan yang dibuat individu dikenali sebagai Papagomo menerusi siaran langsung di media sosial yang kemudiannya tular, telah menimbulkan salah faham serta menjejaskan imej restoran itu.
“Situasi ini telah menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan orang awam, khususnya pelanggan setia kami yang selama ini menyokong perkembangan perniagaan bumiputera ini.
"Bagi mengelakkan kekeliruan dan spekulasi, kami menegaskan bahawa semua kenyataan yang dibuat dalam siaran langsung tersebut adalah palsu, tidak berasas dan bermotif jahat.
“Saloma Kuala Lumpur beroperasi secara sah, mematuhi sepenuhnya undang-undang negara dan tidak pernah terlibat dalam apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan yang mengaitkan aktiviti pihak-pihak lain dengan Saloma Kuala Lumpur adalah tidak bertanggungjawab dan telah menjejaskan reputasi kami,” menurut kenyataan itu.
Pengurusan Saloma Kuala Lumpur memaklumkan telah mengarahkan peguam untuk menangani perkara berkenaan secara serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan memfitnah atau merosakkan integriti syarikat.
"Berdasarkan nasihat peguam, kami kini sedang mengambil semua langkah undang-undang yang perlu untuk melindungi kepentingan syarikat dan memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap penyebaran maklumat palsu ini dikenakan tindakan sewajarnya," menurut kenyataan itu.
Pihak pengurusan restoran itu turut menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang penilaian berdasarkan tuduhan tidak berasas yang disebarkan di media sosial.
“Sokongan daripada pelanggan dan rakyat Malaysia amat dihargai dalam usaha kami membangunkan sebuah perniagaan bumiputera yang sedang berkembang pesat,” menurut kenyataan itu.
- Bernama
