Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketika di bangku sekolah menengah, Sherman Koh Chee Hong pernah dibuli, diejek dan disisihkan kerana perwatakannya yang pendiam. 

 “Saya duduk di barisan depan kelas seorang diri dan buat kerja diam-diam sementara orang lain berkumpul dan berbual.

“Ketika waktu rehat, malah berjalan antara kelas pun selalunya saya seorang diri,” katanya.

Semua pengalaman itu kekal hingga ke dewasa dan membentuk azamnya untuk mewujudkan ruang yang lebih selamat bagi pelajar.

Dia tidak mahu mereka melalui kesunyian yang sama sepertinya.

Beberapa belas tahun selepas itu Koh menjadi seorang pakar dalam bidang sains komputer dan kecerdasan buatan (AI).

Kepakaran menghasilkan pelbagai aplikasi mendorongnya membangunkan sebuah aplikasi antibuli, bagi membantu orang ramai mendokumentasikan insiden buli secara lebih sistematik.

Dinamakan sebagai Berani, aplikasi di Android dan iPhone itu diedarkan secara percuma dan segala kos penyelenggaraan ditanggungnya seorang diri.

Aplikasi itu dirancang khusus untuk membantu pelajar, ibu bapa dan pendidik mendokumentasikan insiden buli atau penyalahgunaan secara lebih sistematik.

Menurutnya, aplikasi itu pada mulanya diberi nama Bersuara, tetapi kemudian diubah menjadi Berani kerana “mangsa memerlukan keberanian untuk bersuara”. 

“Aplikasi ini dapat memberi sokongan kepada mereka (mangsa) yang tidak berani bersuara.

“Saya melakukan usaha ini supaya orang lain tak menjadi mangsa seperti saya,” katanya.

Tambah Koh, aplikasi itu membolehkan pengguna merekodkan tarikh, masa, lokasi, keterangan dan gambar. 

Contoh laporan dijana

Kemudian, sistem AI akan menghasilkan laporan lengkap dan teratur yang memuatkan penerangan insiden, impak yang dialami dan cadangan langkah seterusnya. 

Laporan ini boleh disimpan secara peribadi dalam peranti (vault) atau dikongsi dengan individu yang dipercayai melalui e-mel atau aplikasi pesanan lain. 

Tiada data pengguna akan disimpan kerana menurutnya, keselamatan dan privasi mangsa perlu diutamakan.

Rakan kaunseling AI

Selain fungsi laporan, Berani turut menyediakan ruang sokongan awal melalui Rakan Kaunseling AI, iaitu ruang interaksi menggunakan bahasa empati yang memberi sokongan emosi dan memaklumkan mangsa mengenai talian sokongan di Malaysia seperti Talian Kasih 15999.

Menurutnya, mangsa buli sering melalui situasi itu secara bersendirian dan tidak tahu cara mendapatkan bantuan.

Namun dia menegaskan bahawa aplikasi ini bukan untuk menggantikan kaunselor, guru atau pihak berkuasa, sebaliknya bertindak sebagai alat sokongan awal.

Koh membangunkan aplikasi itu secara pada pertengahan tahun 2025 dengan modal sekitar RM5,000. 

Dia percuma sepenuhnya, termasuk tiada pembelian tersembunyi atau dipenuhi iklan.

Bagi Koh, dia bukan mahu mengejar keuntungan.

Katanya, untuk standard sebegitu dan jika digunakan oleh kerajaan, upah daripada pakar luar negara boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

Tambahnya, segala kemahiran yang dipelajarinya adalah hasil peluang dan pendidikan yang disediakan oleh negara, dan Berani merupakan salah satu cara dia membalasnya. 

Dia berharap aplikasi ini menjadi sumbangan kecil tetapi bermakna kepada pelajar di seluruh Malaysia.

“Saya banyak membangunkan aplikasi untuk negara luar, tapi tidak negara sendiri.

“Jadi sekarang tiba masanya saya berbakti kepada negara dan saya gembira melakukannya,” kata bekas pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu.

Koh mempunyai lebih 13 tahun pengalaman dalam industri teknologi yang merangkumi penyelesaian sistem, analisis data, transformasi digital dan pelaksanaan projek berskala besar di Asia Pasifik.

Seru sekolah, kerajaan guna

Koh menyeru pihak sekolah, kementerian dan agensi berkaitan supaya mempertimbangkan penggunaan aplikasi Berani sebagai sebahagian daripada pendekatan antibuli. 

Sikap terbuka terhadap penggunaan aplikasi ini, katanya, boleh memberi peluang kepada lebih ramai mangsa mendapatkan sokongan sebelum isu menjadi lebih parah.

“Saya mahu mereka tahu bahawa ada saluran yang selamat, walaupun mereka belum bersedia bercakap dengan orang dewasa secara langsung,” ujarnya.

Pada Oktober, Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan kes buli di sekolah meningkat apabila sebanyak 7,681 kes dilaporkan pada tahun lalu. 

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail berkata, statistik SSDM KPM merekodkan sebanyak 3,883 kes buli pada 2022 dan meningkat sebanyak 6,528 kes pada 2023 di pelbagai institusi.

Antara kes yang menggemparkan didakwa melibatkan pelajar Zara Qairina Mahathir, 13, yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedar dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada empat pagi, 16 Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS