Setelah PRN Sabah berakhir, kesedaran parti komponen kerajaan kepada trend rakyat yang tidak memihak kepada kerajaan Madani mula menyerlah. DAP sebagai parti yang menyumbang kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan menyatakan hasrat untuk memulakan proses reformasi menyeluruh dan bermakna dalam kerajaan dalam tempoh enam bulan. DAP terkesan dengan kekalahan ‘total’ dalam PRN Sabah baru-baru ini.
Istilah wake-up call yang digunakan oleh pimpinan kerajaan sebagai mengulas prestasi PH dan BN dalam PRN Sabah itu tidak akan bermakna dan menjadi sia-sia jika perubahan asas tidak dilakukan sesegera mungkin. Perubahan tersebut ialah memperbaiki semula peranan dan kedudukan menteri yang ada dalam kabinet Madani setelah mereka menunjukkan keupayaan selama tiga tahun.
Rombakan kabinet bukan sahaja perlu dibuat tetapi ia tepat pada masanya apabila berlaku empat kekosongan jawatan menteri dalam kabinet Madani. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu mengambil peluang untuk mengisi kekosongan tersebut serta menyusun semula menteri lain yang dianggap terpaling dengan isu yang boleh mengurangkan keyakinan rakyat pada kerajaan Madani.
Masalah penyampaian dan komunikasi strategik kerajaan kepada komuniti dan rakyat masih belum berjaya diatasi meskipun setiap bulan, setiap tahun, anggota parti dalam Kerajaan Perpaduan membangkitkannya. Janji untuk melakukan perubahan besar-besaran kepada sistem penyampaian maklumat kerajaan kepada orang awam dilihat masih kurang berkesan dan jauh ketinggalan berbanding manipulasi media yang dimainkan oleh pihak anti-Madani.
Justeru itu, dengan mengubah peranan seorang menteri yang seharusnya mempunyai ‘iltizam politik’ yang tinggi untuk mendoktrinkan semula pemikiran rakyat melalui komunikasi kerajaan perlu diletakkan sebagai menteri komunikasi yang baharu. Doktrin yang dimainkan bukan untuk mencintai Anwar Ibrahim, atau menjadi ahli PH, sebaliknya doktrin yang dimainkan untuk mengukuhkan semula kecintaan rakyat kepada negara serta memperkayakan rakyat dengan ilmu pengetahuan agar negara senantiasa disemai dengan amalan masyarakat yang harmoni, damai dan matang.
Persoalan yang wajar difikirkan juga, adakah usaha Madani itu mula merakyat ke akar umbi? Penyampaian maklumat serta dasar yang memberi kesan kepada rakyat itu adakah telah memberi kesan yang signifikan kepada mereka? Soalan ini barangkali boleh menjadi pengukur kepada Anwar memilih menteri yang mesti ditonjol dan diutamakan untuk membawa Madani turun ke peringkat kampung dan pedalaman melalui strategi yang tersusun dan berkesan.
Seiring dengan kekecewaan Anwar
Bukankah persoalan di atas seiring dengan kekecewaan Anwar beberapa hari yang lalu? Anwar menzahirkan rasa kecewanya apabila masih ramai rakyat Malaysia masih samar-samar menyakini Madani sedangkan sudah banyak perubahan yang telah dilakukan oleh kerajaan demi kebaikan rakyat. Kita mahu Madani meniti di bibir rakyat marhaen sambil bersyukur atas segala usaha baik yang sedang dinikmati. Langkah ini mampu memperkukuhkan imej dan kedudukan kerajaan yang ada hari ini. Maka satu tindakan berani perlu dipertimbangkan oleh Anwar kepada barisan kabinetnya.
Prestasi menteri pendidikan pula bukanlah berorientasikan kepada isu keupayaan beliau menentukan hala tuju serta corak sistem pendidikan negara, sebaliknya cara beliau dan pasukannya mengawal serangan persepsi dari pihak anti-kerajaan meletakkan menteri itu dalam keadaan liabiliti kepada kerajaan. Apakah hala tuju pendidikan kita telah dibentuk semula? Sudah. Adakah sistem pendidikan kita mula mengalami proses pembaikan? Sudah. Namun yang menjadi modal serangan pihak anti-Madani itu bersifat isu semasa dan manipulasi fakta yang menyebabkan KPM harus bersilat dengan gaya dan langkah yang bersifat mengepung naratif jahat itu. Erti kata lain, langkah untuk menyelesaikan isu itu melalui kemahiran komunikasi strategik sang menteri dan pasukan pejabatnya bukan lagi isu dasar kementerian.
Apakah isu Zara Qairina Mahathir itu meledak kerana berpunca daripada sistem pendidikan? Tidak. Ia manipulasi fakta yang dimainkan atas kesengsaraan orang lain demi keuntungan politik semata-mata. Di situlah sisi kelemahan pasukan menteri yang gagal mengekang naratif songsang itu sehingga melemahkan imej kerajaan apabila ia bukan lagi jadi isu politik tetapi isu marhaen yang memberi kesan mendalam kepada kerajaan dan rakyat. Akibatnya PH tewas 21 kerusi di Sabah. Apakah kelemahan mengepung isu di setiap kementerian harus dibiarkan dan mempengaruhi prestasi PH dalam PRU ke-16?
Mungkin Anwar melihat rombakan kabinet itu akan mengganggu kestabilan politik yang sedang dikecapi oleh kerajaan sekarang. Perubahan akan dianggap sebagai ‘keributan’ baru dalam kerajaan yang mampu mengganggu perjalanan kerajaan. Isunya, adakah dengan kelancaran dan kestabilan politik dalam kerajaan sekarang membuahkan hasil yang didambakan oleh rakyat? Adakah ia memberi nilai tambah pada kedudukan Kerajaan Perpaduan dalam PRU akan datang? Tidak. Maka sewajarnya rombakan kabinet perlu dilakukan dengan memasukkan tenaga-tenaga yang dipercayai mampu menyumbang ke arah keyakinan rakyat serta kejayaan mendominasi pilihan raya.

Jika Nurul Izzah Anwar itu dilihat mampu dan perlu dibawa masuk dalam kabinet Anwar, masukkanlah. Isu nepotisme itu akan sentiasa bermain sebagai serangan anti-Madani walaupun Izzah tidak menjadi menteri sekalipun. Oleh itu, janganlah dihiraukan isu tersebut asalkan keberadaannya dalam kabinet mampu mengatasi kelemahan besar yang sedang dihadapi kerajaan.

Begitu juga dengan Khairy Jamaludin Abu Bakar. Nama beliau tidak langsung ketinggalan oleh semua penganalisis politik yang mengulas tentang rombakan kabinet. Kelihatan beliau mampu menyuntik keyakinan rakyat kepada kerajaan setelah ditinggalkan oleh Rafizi Ramli. Kemasukan beliau ke dalam kabinet Madani dilihat sebagai memberi nafas baru kepada Madani dan diharapkan kecemerlangan populariti Khairy akan melimpah kepada Madani.

Tidak harus dikesampingkan, kemasukan Mujahid Yusof dalam kabinet Madani. Kedudukan beliau sebagai timbalan presiden Amanah akan membantu mengukuhkan peranan Amanah dalam kerajaan sekali gus memulihkan semula prestasi PH akan datang. Dalam konteks hari ini, Mohamad Sabu sebagai presiden Amanah dan Dzulkefly Ahmad (naib presiden Amanah) dilantik sebagai menteri Madani. Tidak salahnya dan lebih cantik jika Mujahid juga diserap sebagai menteri supaya tiga pimpinan utama Amanah beraksi dalam pemerintahan era Madani.
Seorang ahli Dewan Negara yang melayakkan beliau diangkat sebagai menteri bagi membantu memulihkan semula keyakinan rakyat kepada naratif melayu-Islam yang sentiasa dimainkan. Beliau bekas menteri yang mempunyai pengalaman yang boleh menyumbang ke arah pengukuhan kerajaan melalui penguasaan pentadbiran dan langkah membumikan nilai politik Madani ke akar umbi.
Apa pun ‘berita khabar angin’ yang digembar-gemburkan, Anwar sedang menimbang pilihan yang ada termasuk membuat rombakan kabinet secara menyeluruh. Rombakan ini diperlukan kerana, yang memberi kesan buruk kepada kerajaan bukanlah di kementerian yang sedang kosong sekarang. Sebaliknya di kementerian yang masih mempunyai menteri.
Lihat prestasi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merupakan kementerian yang cemerlang dari sudut kerja dan kawalan naratif. Jarang sekali empat kementerian ini menjadi sasaran serangan pembangkang sehingga melemahkan Madani.
Namun hakikat yang perlu diterima, kementerian lain yang sedang menerima masalah sehingga membebankan kerajaan. Justeru Anwar harus melakukan rombakan kepada kabinetnya dengan membawa masuk muka-muka yang diyakini berupaya dan mampu mengawal serangan pembangkang.
ABDUL JALIL IBNU adalah pemerhati dan penulis politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
