Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes tembak di Melaka: Peguam bidas polis tak ambil keterangan anggota terlibat
Diterbitkan:  Dec 11, 2025 11:04 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Peguam keluarga tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka membidas polis kerana gagal menyoal siasat anggota yang didakwa sebagai pelaku dalam kejadian itu.

Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh berkata kemas kini terbaru polis mengesahkan siasatan setakat ini hanya merakam kenyataan tiga anggota keluarga dan empat pegawai perubatan - yang menurut mereka bersamaan dengan pengakuan bersalah dari pihak polis sendiri.

“Pengabaian ini bukan kelemahan teknikal tetapi kegagalan struktur yang menjejaskan integriti keseluruhan proses siasatan.

“Dalam mana-mana siasatan berkenaan penggunaan kekerasan yang sah, langkah pertama dan paling penting ialah mengambil kenyataan daripada anggota yang melepaskan tembakan,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Ia sebagai menjawab kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar bahawa pihaknya telah memanggil tujuh individu tersebut untuk memberi keterangan di Bukit Aman semalam.

Pada 24 November lepas, tiga suspek penjenayah berusia 24 hingga 29 tahun dilaporkan ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, mempertahankan tindakan anggotanya, dan berkata insiden itu menyebabkan seorang koperal berusia awal 30-an mengalami kecederaan serius pada lengan kirinya.

Bagaimanapun, peguam keluarga mangsa menolak versi kejadian oleh polis.

Hari ini, Rajesh dan Sachpreetra berkata keengganan mahupun kegagalan untuk menyoal siasat anggota yang didakwa melepaskan tembakan menimbulkan kebimbangan serius mengenai kemungkinan pencemaran bukti, penyesuaian naratif, bias institusi dan halangan sistemik terhadap keadilan

“Untuk menyifatkan siasatan sebegini sebagai adil, profesional, telus atau berintegriti adalah satu penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang,” tegas mereka, merujuk kepada moto rasmi PDRM.

Mereka turut menggesa polis untuk mengambil langkah segera, termasuk merakam kenyataan semua anggota yang terlibat serta mendedahkan secara terbuka rantaian arahan dan justifikasi operasi.

“Selagi piawaian minimum ini tidak dipenuhi, siasatan ini tidak boleh dianggap boleh dipercayai, sah atau menurut undang-undang,” kata mereka lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS