Selepas menarik balik pengiktirafan terhadap sebuah buku yang menjadi polemik susulan Anugerah Buku Negara baru-baru ini, penganjur anugerah berkenaan tampil mengakui kelemahan yang wujud dalam penganjurannya.
Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Hasan Hamzah menegaskan pihaknya akur dengan kekhilafan dan terlepas pandang berhubung perkara yang dibangkitkan pelbagai pihak.
Namun menurutnya, masyarakat perlu sedar bahawa isu yang dipolemikkan itu sepatutnya diberi ruang untuk diperbaiki pada masa akan datang.
“Kita akui kesilapan yang berlaku dan kita segera mengambil tindakan menarik balik anugerah yang diberikan kepada penerbit buku tersebut.
“Kesilapan ini adalah proses pembelajaran dan kita akan perbaiki setiap kelemahan. Tetapi janganlah bersikap mencemuh dan menghukum sehingga mahu kita jatuh terduduk di sebalik usaha yang baik ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Baru-baru ini tular rasa tidak puas hati sesetengah pihak apabila sebuah naskhah yang dipertikaikan keaslian kandungannya menerima Anugerah Buku Negara yang berlangsung semasa Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF).
Ia menimbulkan kontroversi kerana kandungannya yang dipertikaikan serta kualiti yang dipamerkan dalam naskhah tersebut. Misalnya ada kandungan tersebut dipercayai disalin bulat-bulat dari kemudahan penterjemahan dalam talian.
Hasan turut mengesahkan buku bertajuk ‘Cikgu E Kisah Pejuang Kanser’ tulisan Mejar (B) Qayyum Badaruddin dibatalkan penganugerahan yang diberikan seperti mana surat pemberitahuan yang tular di media sosial.
Menurut surat berkenaan, buku terbitan syarikat Casamas Resources Sdn Bhd itu diambil tindakan sedemikian kerana menjadi pertikaian umum dan keluarga Allahyarham Cikgu E U membantah penerbitan buku yang turut dikategorikan berunsur kecerdasan buatan (AI) itu.

Hasan menjelaskan ramai pihak yang tidak faham dengan usaha dilakukan pihaknya dalam menambah nilai hasil penerbitan oleh penulis-penulis dan syarikat penerbit.
Tegasnya, penganjuran Anugerah Buku Negara bukan berkonsepkan pertandingan sebaliknya adalah pengiktirafan.
“Tahun ini kita menerima penyertaan lebih 800 buah judul buku dan anugerah diberikan kepada 10 peratus daripada jumlah penyertaan itu.
“Anugerah Buku Negara bukan pertandingan tetapi pengiktirafan terhadap usaha penerbitan buku oleh pelbagai pihak antaranya Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan penerbit sama ada agensi kerajaan atau swasta.
“Dalam anugerah ini tidak ada pemenang nombor satu, dua atau tiga. Kita memberikan anugerah kepada judul buku yang layak mengikuti kategori. Sesetengah kategori ada yang mempunyai penerima lebih daripada satu,” katanya.
Mengulas lanjut dia turut mengakui kelemahan dari aspek penjurian antara lain disebabkan kekurangan dana untuk melantik juri profesional.
Katanya, sejak 2018 penganjuran Anugerah Buku Negara tidak lagi mendapat suntikan dana daripada kerajaan namun pihaknya tetap meneruskan usaha itu.
“Kali ini kita kekurangan dana dan terpaksa memohon sumbangan di sana sini bagi meneruskan juga usaha ini.
“Saya akui wujud kelemahan aspek penjurian dan pemilihan penerima anugerah, terlepas pandang dan tidak meneliti secara terperinci.
“Insya-Allah kita akan perketatkan aspek penjurian dan pemilihan pemenang anugerah di masa akan datang,” kata Hasan yang juga pengerusi sekretariat Anugerah Buku Negara.
Tambahnya lagi, YPBN bertekad untuk menyediakan dana RM100,000 sebagai hadiah iringan kepada penerima anugerah pada tahun depan.
Selain itu katanya, kaedah penjurian juga akan mengambil kira undian dalam talian oleh orang awam selain membarisi juri profesional.
“Dalam merealisasikan Kuala Lumpur sebagai kota buku dunia yang dipilih Unesco pada 2020, kita perlu sedar bahawa 1,000 judul buku perlu diterbitkan bagi setiap populasi sejuta penduduk di negara ini.
“Kita masih jauh daripada sasaran nisbah itu dan usaha ini perlu digembleng oleh semua pihak untuk menjayakannya.
“Kita mencari kelebihan, sumbangan ilmu buku tersebut sebagai hasil khazanah negara, manakala masyarakat perlu sedar bahawa kelemahan adalah proses pembelajaran yang perlu diterima,” ujar Hasan lagi.
