Bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker menyasarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, dan menggesa timbalan pengerusi DAP itu membawa usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melalui saluran kabinet.
Ti mengingatkan Nga tentang peranannya sebagai anggota kabinet dan sebarang perubahan dasar berhubung UEC mesti bermula melalui proses rasmi kerajaan, bukannya melalui kenyataan umum.
“Dapatkan sokongan PMX! Berunding dengan rakan-rakan menteri dalam kabinet, bentangkan kertas kepada kabinet, dapatkan kelulusan kabinet dan pikul tanggungjawab bersama kerajaan,” kata Ti mengenai cara-cara yang sewajarnya untuk membawa perubahan dasar.
Ti seterusnya mengkritik “aksi pentas awam” Nga dalam isu sensitif perkauman itu.

“Nga berisiko mewujudkan persepsi bahawa dia menekan kerajaan sendiri dari luar, seolah-olah dia seorang aktivis jalanan, bukannya menteri kanan,” kata Ti.
Dia berkata taktik sedemikian boleh membentuk naratif berbahaya yang menggambarkan UEC sebagai isu Cina lawan Melayu, lalu mengundang konfrontasi kaum.
Menurut Ti, MCA walaupun dengan kehadiran parlimen yang lebih kecil, secara tradisi menangani isu perkauman sensitif melalui rundingan diplomatik, bukannya retorik umum yang membakar sentimen.
“Nga perlu belajar dan mengamalkan ketelitian serta pendekatan MCA dalam meredakan banyak isu berbaur perkauman dan mendapatkan hasil yang diingini secara diplomatik dan berkesan,” katanya.
Selepas pilihan raya Sabah yang menyaksikan DAP kalah teruk, parti itu mahu menggerakkan semula agenda pengiktirafan UEC.
Namun, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menolak keras usaha itu dan mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mengiktiraf UEC.
Akmal juga mengecam Nga dengan menegaskan hanya Malaysia mengiktiraf sistem vernakular malah negara seperti Singapura tidak mengiktiraf sistem pendidikan selain arus perdana.
Sementara itu, Ti berkata jika Nga benar-benar komited melaksanakan reformasi, “jalan yang bertanggungjawab bukanlah teater politik. Jalan yang bertanggungjawab ialah kerja kabinet.”
Dia juga menyasarkan komitmen-komitmen Nga sebelum ini mengenai pilihan raya kerajaan tempatan dan cadangan pajakan 999 tahun untuk kampung baru — isu-isu yang menurutnya terletak di bawah, atau boleh dimajukan melalui, kementerian Nga.
“Semua ini memerlukan kerja dasar dalaman yang serius seperti menyediakan kertas, menjalankan semakan undang-undang, menyediakan penilaian impak peraturan, dan mendapatkan kesepakatan antara kementerian,” katanya.
“Reformasi sensitif dicapai melalui rundingan metodik dan senyap, bukan pengisytiharan lantang.”
Menteri yang serius, katanya lagi, “melobi di bilik yang betul: bilik kabinet, Jabatan Peguam Negara, Unit Perancang Ekonomi, kerajaan negeri dan meja dasar yang berkaitan.”
