Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid mengemukan tindakan perundangan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim terkait perjanjian timbal balas (ART) antara Malaysia dan AS.

Melalui firma Tetuan Karthig Shan, anggota Majlis Pimpinan tertinggi Bersatu itu mengemukakan notis tuntut (LOD) bagi menggesa Anwar menjelaskan kuasa perlembagaan yang membolehkan dia menandatangani ART.

Rosol berkata sebagai ahli parlimen dia mempunyai tanggungjawab untuk meminta perdana mengeri memberi penjelasan lanjut selepas persoalan yang dikemukakan melalui Dewan Rakyat dianggap tidak dijawab dengan tuntas.

Dalam tuntutannya, Rosol mempersoalkan autoriti perundangan yang digunakan Anwar untuk memeterai perjanjian tersebut dan keupayaan eksekutif untuk mengikat persekutuan tanpa pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Dia juga mempersoalkan sama ada jemaah menteri meneliti secara penuh ART sebelum ia ditandatangani atau tidak, selain adakah mereka mendapatkan nasihat peguam negara sebelum ART dimeterai.

Turut dibangkitkan, sama ada nasihat dan perkenan Majlis Raja-Raja sudah diperoleh atau tidak.

Selain itu Rasol meminta menjelaskan sama ada parlimen telah meluluskan sebarang undang-undang penguatkuasaan atau pengesahan berkaitan perjanjian tersebut.

Dia juga mahu tahu jika segala keperluan perlembagaan melibatkan Agong seperti dinyatakan pada Perkara 39, 40, 41, 44 dan 66 dipatuhi.

“Adakah perdana menteri secara peribadi atau bagi pihak kerajaan Malaysia telah bertukar notifikasi bertulis dengan kerajaan AS yang mengesahkan bahawa Malaysia telah melengkapkan ‘prosedur perundangan yang terpakai’ di bawah Artikel 7.2 ART?” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar diberi tempoh 14 hari

Hadir sama Peguam P Waytha Moorthy dan Presiden Putra, Ibrahim Ali.

Rosol turut menyatakan pendiriannya bahawa Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kapasiti kontraktual kepada “Persekutuan”, dan bukan kepada perdana menteri, jemaah menteri atau mana-mana pemegang jawatan secara individu.

Katanya, bagi maksud Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan, maksud “Persekutuan” merangkumi Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja, pihak eksekutif dan parlimen.

“Sebarang perjanjian yang bertujuan mengikat Persekutuan hendaklah dimeterai dengan penyertaan, kuasa atau perkenan organ-organ berperlembagaan yang berkaitan, dan tidak boleh dimeterai secara unilateral oleh pihak eksekutif.

“Sehubungan itu, perdana menteri yang bertindak secara unilateral tidak mempunyai kuasa atau mandat memeterai ART bagi pihak Persekutuan tanpa kelulusan parlimen terlebih dahulu.

“Datuk Seri Anwar sebagai perdana menteri tidak mempunyai kapasiti perlembagaan untuk mengikat Persekutuan pada masa berkenaan,” katanya.

Tambah Rosol lagi, susulan itu tiada notifikasi sah di bawah Artikel 7.2 ART yang mengesahkan bahawa Malaysia telah melengkapkan “prosedur perundangan yang terpakai” boleh dikeluarkan oleh perdana menteri atau kerajaan Malaysia, memandangkan perjanjian tersebut adalah void ab initio kerana ketidakpatuhan kepada Perkara 69.

Sementara itu Waytha Moorthy berkata, sekiranya Anwar tidak menjawab tuntutan mereka dalam tempoh 14 hari, pihaknya akan membawa kes tersebut ke mahkamah tinggi.

“Selepas itu kami akan mohon dirujuk terus kepada Mahkamah Persekutuan, tak perlu melalui mahkamah tinggi, Mahkamah Rayuan dan sebagainya sebab ini isu perlembagaan yang amat serius.

“Perkara sebegini belum pernah diputuskan oleh mahkamah di Malaysia dan isu ini memerlukan penghakiman segera dan muktamad,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS