Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tei persoal Anwar: Saya bukan hero tapi kamu?
Diterbitkan:  Dec 11, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Ahli perniagaan Albert Tei yang mendedahkan skandal perlombongan di Sabah, menegaskan dia bukan wira namun dia mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika dia layak menyandang gelaran itu.

“Saya bukan hero. Tapi adakah anda (wira),” soalnya pada satu kenyataan.

Dia menegaskan pendedahan skandal itu bukan untuk mencari pujian, tetapi lahir kerana terdesak.

“Saya telah ditolak ke dalam selekoh, saya tiada pilihan.

"Saya telah diberi amaran agar tidak pergi ke SPRM dengan bukti yang kukuh, jadi saya terpaksa beralih kepada media.,” katanya.

Kenyataan Tei hadir sebagai reaksi kepada komen terbaharu Anwar yang menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan mengagung-agungkan pemberi rasuah.

Walaupun perdana menteri tidak menyebut nama atau merujuk secara langsung kepada skandal Sabah, Tei yakin dirinya sasaran kenyataan itu.

Dia turut menyoal tindakan Anwar berkongsi pentas dengan ahli politik yang didakwa terlibat dalam skandal tersebut malah menyantuni mereka sebagai sekutu.

“Anwar Ibrahim kata kes siasatan rasuah belum ditutup, namun beliau duduk di pentas yang sama dengan mereka dan turut memuji mereka.

"Saya ingin bertanya adakah penerima rasuah lebih mulia daripada pemberi rasuah,” soalnya, merujuk kemunculan Anwar dalam ceramah bersama pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didakwa terlibat.

Tei sekali lagi mengulangi dakwaannya bahawa perdana menteri menggunakan skandal tersebut untuk agenda politik di Sabah dan menuduh Putrajaya melindungi ahli politik terbabit.

“Bagaimana Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa saya memberikan bukti yang sama terhadap semua ahli politik GRS yang terlibat, namun hanya dua orang yang didakwa dan ramai yang masih bebas,” katanya.

“Saya hanyalah seorang ahli perniagaan seperti yang dikatakan oleh Rafizi Ramli mantan timbalan presiden PKR, saya terpaksa mematuhi budaya memberi rasuah yang berakar umbi untuk menjalankan perniagaan di Malaysia. Ia bukanlah sesuatu yang saya banggakan.

"Saya bukan seperti Anwar Ibrahim, saya tidak menghabiskan masa 27 tahun yang lalu menjelajah seluruh Malaysia dan dunia bercakap tentang pembaharuan dan memerangi rasuah,” tambahnya.

Dalam podcast minggu lalu, Rafizi ketika ditanya mengenai Tei yang dilabel sebagai “wira” dan “pembocor maklumat”, berkata dia tidak bersetuju dengan gelaran itu walaupun mengakui amalan rasuah seperti itu sudah menjadi kebiasaan dalam dunia perniagaan tempatan.

Sementara itu, Tei melahirkan kebimbangan bahawa sesuatu yang buruk mungkin berlaku terhadap dirinya atau keluarganya susulan dakwaan terbarunya.

“Saya amat risau tiba-tiba terjumpa dadah di dalam kereta saya atau saya ditangkap dan dituduh lagi ke mahkamah dengan pelbagai aniaya,” katanya.

Tei lantang mengecam GRS dan PH sejak November lalu, selepas mendedahkan pelbagai video, tangkap layar dan dokumen.

Dia mendakwa ahli politik menerima wang daripadanya sebagai balasan bagi lesen penerokaan mineral, yang kemudian dibatalkan — mendorongnya membuat pendedahan skandal itu.

Beberapa hari sebelum pilihan raya negeri Sabah, dia turut mengaitkan bekas pembantu politik kanan Anwar, Shamsul Iskandar Akin mendakwa dia membelanjakan lebih RM620,000 untuk Shamsul selepas diyakinkan bahawa pembantu itu boleh membantunya mendapatkan semula wang yang didakwa diberi kepada ahli politik di Sabah.

Tidak lama selepas itu, dua video muncul memaparkan seorang wanita — didakwa proksi Shamsul — bersetuju dengan Tei bahawa bekas pembantu politik itu mengesyorkan rakaman dibuat, serta mendakwa Anwar telah memberi “restu” manakala Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki juga dikatakan mengetahui perkara itu.

Tidak lama kemudian, Tei dan Shamsul ditangkap dan kemudian didakwa atas tuduhan memberi dan menerima rasuah berkaitan skandal perlombongan tersebut.

Pada Jun lalu, Tei turut didakwa bersama dua lagi Adun GRS atas kesalahan yang sama.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan pemimpin GRS menuduh Tei sebagai sebahagian daripada kartel yang mahu memonopoli perlombongan di negeri itu. Ahli perniagaan itu juga dikatakan menggunakan cara penipuan untuk mencapai tujuannya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS