Kerajaan Melaka bakal merealisasikan pembinaan jambatan penghubung antara Melaka dan Indonesia melalui Pengkalan Balak, sekali gus menjadi ‘pintu gerbang’ dunia terakhir yang menghubungkan kedua-dua negara.
Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata projek mega itu dijangka dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara pada Jan tahun hadapan untuk penelitian lanjut sebelum diserahkan kepada pihak Indonesia.
“Jarak dua lokasi ini hanyalah 47.7 kilometer atau sekitar 40 minit, sekali gus menjadi titik paling dekat antara kedua negara ini.
“Kerajaan negeri juga telah mengeluarkan kos sekitar RM500,000 kepada syarikat perunding bagi mengkaji keberkesanan dan keupayaan jambatan ini untuk mengubah landskap ekonomi serta mobiliti serantau,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian kilang kedua EP Manufacturing Bhd dan pengeluaran pemasangan pertama GWM MPV WEY G9 di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh di Alor Gajah hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk mengambil alih 5,000 hektar kawasan di Masjid Tanah bagi dijadikan zon perindustrian baru yang mampu menarik pelbagai pelabur domestik dan antarabangsa.
Katanya kewujudan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di kawasan berhampiran juga dijangka bertindak sebagai pemangkin tambahan, menyokong pembangunan jambatan serta memperkukuh sektor ekonomi biru di Melaka.
“Ekonomi biru di Masjid Tanah dijangka memberikan pulangan terbaik kepada kerajaan negeri dan negara, termasuk peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.
- Bernama
