Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesta Pulau Pinang berehat 6 tahun untuk projek LRT
Diterbitkan:  Dec 12, 2025 8:21 AM
Dikemaskini: 12:21 AM

Pesta Pulau Pinang 2025/2026 akan menjadi edisi terakhir dianjurkan di Tapak Pesta Pulau Pinang di George Town sebelum direhatkan selama enam tahun bermula tahun depan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkara itu dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) oleh MRT Corp di tapak berkenaan.

“Pada tahun lalu saya telah memaklumkan kemungkinan edisi ke-58 menjadi edisi terakhir sebelum penganjuran ditangguhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan laluan LRT Laluan Mutiara dan TOD oleh MRT Corp.

“Namun berdasarkan perkembangan terkini MRT Corp hanya akan mengambil alih tapak ini pada April 2026, ia membolehkan Pesta Pulau Pinang diteruskan untuk edisi ke-59,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pesta itu malam tadi.

Perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Ramli Ngah Talib dan turut dihadiri isterinya Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Kata Chow, memandangkan edisi ke-59 merupakan edisi terakhir sebelum penangguhan selama enam tahun, Pesta Fun Walk julung kali diadakan pada 29 Nov sebagai simbolik sokongan masyarakat terhadap penganjuran pesta tersebut selama ini.

Mengimbau mengenai sejarah Pesta Pulau Pinang, Chow berkata sejak dianjurkan pada 1966, ia berkembang daripada sebuah karnival jualan di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum menjadi acara tetap di Tapak Pesta Sungai Nibong mulai 1974.

“Nostalgia sepanjang pelayaran 59 tahun ini diabadikan melalui kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang dalam pameran Tradisi Merentasi Generasi di Galeri Legasi Mutiara yang mempamerkan bahan sejarah termasuk koleksi tiket sejak 1978,” katanya.

Menurut Chow tapak pesta seluas 8.14 hektar itu dilengkapi dengan pelbagai fasiliti antaranya gerai, parkir, surau, tandas, taman mini, mesin juruwang automatik (ATM) dan pavilion agensi negeri, selain menjadi simbol hubungan diplomatik melalui Pavilion Sumatera Utara, Sumatera Barat, Acheh dan Thailand.

Chow berkata edisi kali ini berlangsung selama 36 hari bermula 6 Dis hingga 10 Jan depan dengan mengetengahkan pelbagai produk jualan daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi negeri di samping penyertaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

“Seiring peningkatan pelancong asing, tiket masuk khusus untuk bukan warganegara turut diperkenalkan tahun ini pada harga RM10 seorang, manakala harga tiket untuk warganegara kekal RM5 dan orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dikenakan bayaran,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS