Agensi Anti-Rasuah Bangladesh (ACC) memulakan tindakan undang-undang terhadap 232 individu termasuk pemilik, pengerusi, pengarah urusan dan pengarah syarikat melibatkan 100 agensi pekerja asing, atas dakwaan penglibatan dalam sindiket rasuah dan pecah amanah lebih RM2.68 bilion membabitkan pengambilan pekerja ke Malaysia.
Dalam kenyataan semalam, ACC berkata, individu-individu berkenaan didakwa menerima bayaran beberapa kali ganda berbanding kadar RM2,670 (BDT 78,990) yang ditetapkan kerajaan Bangladesh untuk penghantaran pekerja ke Malaysia.
"Para tertuduh dipercayai telah melakukan pengubahan wang haram dengan menyamarkan, memindahkan dan menukar wang yang diperoleh secara haram melalui cara tidak sah.
"Kesalahan mereka termasuk pecah amanah jenayah, mengambil wang melebihi kos yang ditetapkan kerajaan dengan tujuan jahat, dan menyelewengkan wang pekerja yang dihantar ke Malaysia.
"Setiap pekerja yang dihantar terpaksa membayar yuran pasport, pemeriksaan kesihatan dan bayaran lain yang sepatutnya dikawal oleh kontrak, namun dimanipulasi oleh sindiket ini. Kes ini melibatkan jumlah wang yang besar, dianggarkan sebanyak RM2,685,893,197 (BDT7,984,15,07,500)," kata agensi tersebut.
Tambahnya, jumlah 232 individu dan 100 agensi ini termasuk 40 kes sebelumnya yang melibatkan 108 tertuduh dan wang diselewengkan sebanyak RM1,156,870,975 (BDT 3,438,94,25,000).
Ketika dihubungi, peguam kepada Altab Khan yang menjadi pengadu kes ini–Md Rafiqul Islam, mengesahkan keputusan ACC kepada Malaysiakini.
"Saya boleh sahkan ACC mengambil tindakan undang-undang ke atas semua 100 agensi yang dilaporkan oleh anak guam saya," katanya.
Altab membuat laporan polis pada 3 Sept tahun lalu di Balai Polis Paltan, Bangladesh mendakwa 100 agensi pekerja asing dan 103 individu menggelapkan RM8.36 bilion melalui sindiket terancang.
Antara nama besar yang disebut dalam laporan itu adalah bekas setiausaha kanan Ahmed Munirus Saleheen dan bekas ahli parlimen Nizam Uddin Hazari.
Mengulas lanjut, ACC berkata siasatan mendapati mereka yang dilantik sebagai ejen pengambilan buruh di bawah perjanjian antara kerajaan Bangladesh dan Malaysia mengabaikan syarat pemilihan dan kewangan yang telah ditetapkan.
"Tindakan itu adalah sebahagian daripada konspirasi jenayah untuk mengambil kesempatan daripada ketirisan dan korupsi dalam proses penghantaran tenaga kerja, dengan niat jahat mengeksploitasi pekerja yang dihantar ke luar negara.
"Sebagai sebahagian daripada konspirasi itu, para tertuduh dilaporkan menerima imbuhan haram selain daripada bayaran sah yang telah dipersetujui dalam kontrak
"Mereka juga dituduh menerima wang secara haram untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab kontrak yang sah," kata agensi itu.
Malaysiakini turut melihat kertas siasatan mendapati bahawa mereka akan mendakwa individu-individu ini di bawah Seksyen 120(B), 161, 162, 163, 164, 165(A), 420, 409 dan 109 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(2) & 4(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2012, serta Seksyen 5(2) Akta Pencegahan Rasuah 1947 negara Bangladesh.
ACC menegaskan bahawa sindiket ini bukan sahaja merugikan pekerja, tetapi juga menjejaskan reputasi negara dalam urusan penghantaran buruh antarabangsa.
"Kes ini akan menjadi antara siasatan terbesar membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam sejarah Bangladesh," katanya.
Untuk rekod, penghantaran pekerja Bangladesh ke Malaysia disambung semula pada Ogos 2022 selepas hampir enam tahun tergendala.
Namun, pada Mei lalu – selepas lebih 476,000 pekerja dihantar – program itu dihentikan menyebabkan 17,000 lagi pekerja berlesen tidak dapat berlepas.
Putrajaya ketika itu hanya memberi kebenaran kepada 25 agensi Bangladesh untuk menghantar pekerja yang kemudian dikenali sebagai "sindiket" yang dikatakan mempunyai kaitan dengan empat bekas menteri dan ahli parlimen Bangladesh.
Walaupun kerajaan Bangladesh menetapkan kos rasmi pada sebanyaj 79,000 taka (kira-kira RM3,400) bagi setiap pekerja, pekerja pula mendakwa mereka dipaksa membayar sehingga 544,000 taka (kira-kira RM23,000) seorang.
Daripada jumlah itu, kira-kira 142,000 taka dikutip oleh ejen di Bangladesh dan 150,000 taka lagi oleh sindiket di Malaysia bagi setiap visa.
