Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan keputusan menarik balik rayuan terhadap pembebasan Rosmah Mansor adalah kerana ia tidak melihat sebarang prospek untuk mendapatkan sabitan jika rayuan diteruskan.
Ini berhubung 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu.
"Antara faktor yang telah diambil kira dalam mencapai keputusan tersebut ialah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperlukan dalam pembuktian sesuatu perbicaraan jenayah, memandangkan saksi-saksi penting yang diperlukan untuk membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan," kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan.
Semalam, satu notis yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan bahawa AGC telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas yang membebaskan Rosmah daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Notis itu, bertarikh 9 Nov, bermakna rayuan itu terbatal, seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 73 Peraturan Mahkamah Rayuan 1994.
Apabila dihubungi, peguam Rosmah, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya gembira dengan perkembangan itu.
Rosmah sebelum ini didakwa dengan kesalahan tersebut pada 2018. Dia memohon untuk membatalkan pertuduhan pada tahun 2023.
Hakim K Muniandy, yang telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan, membebaskan Rosmah pada Disember tahun lepas, selepas mendapati bahawa pertuduhan tersebut tidak mendedahkan elemen utama kesalahan pengubahan wang haram.
Sementara itu, AGC menegaskan bahawa perkembangan semasa tidak akan menjejaskan prosiding lain yang sedang dijalankan terhadap Rosmah, memetik kes projek tenaga hibrid solar RM1.25 bilion.
AGC turut menegaskan bahawa Rosmah telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk kes tersebut pada 1 September 2022, tetapi perkara itu telah dirujuk ke Mahkamah Rayuan.
"Jabatan ini menegaskan komitmen berterusan untuk menjalankan fungsi pendakwaan secara bebas, adil dan berintegriti.
Keputusan yang dibuat sentiasa berlandaskan undang-undang serta bukti yang tersedia, demi memastikan keadilan ditegakkan dan kepentingan awam sentiasa terpelihara,” tambah AGC.
