Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Video tular Mahathir tuduh Muhyiddin curi duit parti dimanipulasi’
Diterbitkan:  Dec 12, 2025 1:59 PM
Dikemaskini: 8:22 AM
1

Pemuda Bersatu (Armada) Johor mendakwa pihak tertentu telah “memanipulasi” rakaman video pertemuan mereka dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya awal minggu ini.

Ini susulan tularnya satu klip berdurasi dua minit di WhatsApp, yang memaparkan Mahathir skononnya menuduh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencuri wang parti.

Ketua Armada Johor Alias Rasman menafikan perkara itu dan mendakwa Mahathir sebenarnya merujuk kepada individu lain, bukan Muhyiddin.

Dakwanya, video tersebut telah “disunting” demi kepentingan politik pihak tertentu.

“Orang itu sunting-sunting, potong-potong. Jadi benda itu misleading (mengelirukan).

“Saya kenal siapa buat itu dan saya akan ambil tindakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Peguam itu juga berkata dia akan memfailkan tindakan undang-undang sivil terhadap individu yang terlibat menghasilkan klip tersebut.

Alias menjelaskan bahawa pertemuan itu adalah sebahagian daripada kunjungan hormat Armada Johor ke pejabat Mahathir, dan perkara tersebut diketahui oleh Muhyiddin serta Ketua Armada Hilman Idham.

Katanya lagi, Mahathir sebenarnya menyentuh “isu-isu lebih penting” dalam pertemuan itu, namun individu tertentu yang hadir telah memilih untuk “memanipulasi video” berkenaan.

Klip video yang mula tersebar pagi tadi disertakan kapsyen mendakwa Mahathir membongkar kononnya Muhyiddin mahu menjadi perdana menteri kerana takut dipenjarakan.

Dalam rakaman itu, Mahathir kedengaran berkata seseorang “ada masalah” dan “mahu jadi perdana menteri bukan untuk berkhidmat” tetapi kerana bimbang masuk penjara.

“Pasai (pasal) kalau dia tak jadi PM, ada kemungkinan dia masuk dalam (penjara) pasal dia pun curi duit. Saya tahu.

“Duit parti, duit bagi kepada parti dia tak bagi pada parti, dia simpan di rumah dia dan duit tu la dia belanja,” katanya — tanpa menyebut sebarang nama.

Dalam bahagian lain, Mahathir turut mengkritik Muhyiddin kerana tidak mengendahkan nasihatnya supaya tidak bekerjasama dengan Najib Razak.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Mahathir dan Muhyiddin untuk mendapatkan ulasan masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS