Penulis yang dikaitkan dengan kontroversi plagiat, Mejar (B) Qayyum Badaruddin memaklumkan bahawa dia tlah memulangkan semula dua piala dan sijil Anugerah Buku Negara yang diterima ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF), baru-baru ini.
Pemulangan itu dibuat sebaik sahaja selepas Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) memaklumkan penarikan semula pengiktirafan terhadap buku miliknya.
“Saya tidak memerlukan anugerah buku tersebut kerana matlamat saya konsisten iaitu menulis untuk memandaikan umat dan membina fakulti daya fikir.
“Maka dengan ini saya menarik diri dari menerima anugerah tersebut dan saya serahkan kedua anugerah tersebut kembali kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara.
“Jutaan terima kasih di atas pencalonan dan penganugerahan tersebut.
“Dengan ini saya secara rasmi menolak anugerah tersebut buku tersebut dan menyerahkan kembali anugerah tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini tular rasa tidak puas hati sesetengah pihak apabila sebuah naskhah yang dipertikaikan keaslian kandungannya menerima Anugerah Buku Negara yang berlangsung semasa SIBF.
Ia menimbulkan kontroversi kerana kandungannya yang dipertikaikan serta kualiti yang dipamerkan dalam naskhah tersebut.
Misalnya ada kandungan tersebut dipercayai disalin bulat-bulat dari kemudahan penterjemahan dalam talian.
YPBN turut mengesahkan buku bertajuk Cikgu E Kisah Pejuang Kanser tulisan Mejar (B) Qayyum Badaruddin dibatalkan penganugerahan yang diberikan seperti mana surat pemberitahuan yang tular di media sosial.
Menurut surat YPBN, buku terbitan syarikat Casamas Resources Sdn Bhd itu diambil tindakan sedemikian kerana menjadi pertikaian umum dan keluarga allahyarham Cikgu E–watak yang dikisahkan dalam buku itu– membantah penerbitan buku yang turut dikategorikan berunsur kecerdasan buatan (AI) itu.
Qayyum yang juga pengarah Urusan Casamas Resources bagaimanapun menegaskan bahawa dakwaan yang berlegar sebelum ini jelas tidak mempunyai asas.
Katanya, penularan maklumat tanpa penelitian hanya menyemarakkan salah faham serta menghakis budaya “tabayyun” (selidik terlebih dahulu) dalam masyarakat.
“Kecoh satu Malaysia kononnya penulis buku prolifik tersebut tidak layak menerima. Penulis buku begitu komited berdakwah melalui penulisan dan berkarya menghabiskan masa pencennya untuk melahirkan masyarakat yang cinta ilmu dan menjadi generasi yang pandai merasa, bukan merasa pandai.
“Asas tuduhan yang tiada asas dan membina rasa tidak puas hati di kalangan netizen dan ia menjadi lebih parah apabila orang ramai mudah percaya tanpa membuat penyelidikan kesahihan tuduhan tersebut serta menyebarkannya.
“Sikap tidak tabayyun dan mudah melatah perlu dihentikan agar masyarakat lebih waras dalam membuat pertimbangan dan memberi ruang kebebasan berkarya agar industri buku terus berkembang,” katanya.
Bagaimanapun, Qayyum turut mempertahankan integriti pihak Yayasan Pembangunan Buku Negara yang menurutnya sentiasa teliti dan bertanggungjawab dalam pemilihan penerima anugerah.
“Majlis buku negara sangat teliti dan bertanggungjawab dalam membuat pemilihan dan akan sentiasa memastikan anugerah yang diberi adalah yang berkualiti dan ia diberi kepada mereka yang benar-benar layak,” tambahnya.
