Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Depan media Tei dakwa beri rasuah, di mahkamah mengaku tak bersalah'
Diterbitkan:  Dec 12, 2025 3:17 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK), Danish Hairudin mempersoalkan sikap tidak konsisten dan kenyataan bercanggah ahli perniagaan, Albert Tei berkaitan dakwaan rasuah membabitkan dirinya.

Dalam satu kenyataan, Danish menyifatkan Tei sebagai “pelakon kelas ketiga yang selesa menjaja cerita tetapi kecut bila berdepan undang-undang”.

"Hakikat yang tidak boleh disembunyikan lagi ialah di hadapan media, Albert Tei mengaku memberi rasuah dengan penuh bangga seolah-olah mahu dipuji sebagai wira reformasi.

"Tetapi di hadapan mahkamah, tiba-tiba beliau mengaku tidak bersalah. Persoalan paling mudah yang rakyat tanyakan ialah, adakah beliau hilang ingatan, hilang prinsip, atau hilang keberanian apabila berdepan hakim sebenar?” katanya.

Kata Danish serangan Tei terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, adalah cubaan paling terdesak untuk mengalih perhatian daripada percanggahan dan kepincangan dirinya sendiri.

"Pengakuan di luar mahkamah tetapi penafian di dalam mahkamah hanya menunjukkan satu perkara iaitu kata-kata beliau tidak boleh dipercayai, dan integriti beliau berada pada tahap paling rendah.

"Seorang pemberi maklumat yang tulen tidak berubah pendirian mengikut siapa yang memegang mikrofon,” katanya.

DanisSejak November tahun lalu, Tei mengaitkan sejumlah ahli politik di Sabah dengan skandal perlombongan mineral di negeri itu, dengan mendedahkan perbualan yang dirakam secara rahsia, tangkap layar mesej WhatsApp, dan dokumen lain.

Dia juga menyerahkan lebih 300 halaman dokumen kepada SPRM, yang antaranya didakwa menunjukkan aliran wang transaksi tersebut.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bagaimanapun mendakwa Tei sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli perlombongan di negeri itu.

Pada 25 Nov lalu, Tei mengaitkan pula Shamsul Iskandar Mohd Akin, dalam skandal perlombongan berkenaan dengan mendakwa dia memberikan RM629,000 kepada Setiausaha Politik Kanan perdana menteri itu.

Tei dan Shamsul kemudiannya dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memberi dan menerima rasuah. Bagaimanapun kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah.

Mengulas lanjut, Danish berkata, adalah lebih memalukan apabila Tei cuba menuduh perdana menteri sebagai tidak telus atau cuba menutup sesuatu.

‘Berhenti bodohkan rakyat’

Menurut Danish, tindakan itu adalah cara “mahafiraun” mencari kambing hitam, dengan sasaran paling mudah ialah mengaitkannya dengan perdana menteri yang tegas melawan rasuah.

"Cara sedemikian bukan sahaja dangkal, tetapi mencerminkan kecelaruan logik yang amat ketara.

“Seseorang yang tidak konsisten dalam kenyataan peribadinya sendiri cuba mengajar negara tentang integriti?

“Saya ingin mengingatkan beliau bahawa negara ini mempunyai sistem perundangan, bukan pentas drama.

"Kepada Albert Tei, jika benar, kekallah benar di media dan di mahkamah.

“Jika tidak, berhentilah memperbodohkan rakyat dengan lakonan yang semakin hambar," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS