Mahkamah Persekutuan mengarahkan pendakwaan menilai semula empat pertuduhan jenayah terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perintah yang sama turut diberikan kepada peguam Ahli Parlimen Muar itu, dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais, berkata ini adalah masa sesuai bagi kedua-dua pihak untuk “kembali, merenung, dan menilai semula” pendirian mereka.
Abu Bakar menggunakan analogi pertandingan bola sepak untuk menjelaskan bahawa kedua-dua pihak diberi “tempoh bertenang” bagi menilai semula pendirian mereka, lapor The Malay Mail.
“Apabila pengadil merasakan pemain tidak bermain mengikut peraturan, dia hantar mereka keluar sebentar untuk tenangkan diri sebelum kembali ke padang,” kata Abu Bakar semasa prosiding hari ini.
“Saya minta kedua-dua pihak untuk kembali, menilai hujah anda, dan kemudian beritahu kami kedudukan anda. Adakah anda masih berpendapat bahawa rayuan harus diputuskan oleh mahkamah ini, atau adakah anda perlu meneliti dan mengkaji semula semuanya?”katanya.
Panel hakim turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Che Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah.

Abu Bakar berharap kedua-dua pihak mengambil serius arahan itu, memandangkan dua hari sebelumnya telah digunakan untuk meneliti hujah bertulis dan keputusan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan.
Hakim yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya itu turut menyatakan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) biasanya menjalankan semakan dalaman sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskan atau menarik balik rayuan.
“Jika selepas meneliti kes, anda masih percaya boleh membuktikan rayuan anda, maka teruskan. Tetapi jika selepas meneliti semuanya, anda rasa tidak banyak hujah, maklumkan kepada mahkamah,” kata Abu Bakar.
Panel hakim kemudian memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk mengemukakan hujah bertulis tambahan, diikuti dengan seminggu lagi bagi pihak pembelaan meneliti dan memberi respons sebelum menyatakan pendirian mereka.
Jika tiada respons, mahkamah akan terus menyediakan dan mengeluarkan penghakiman.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib, manakala pembelaan diwakili oleh Hisyam Teh Poh Teik dan Ambiga Sreenevasan.
Kes terhadap Syed Saddiq
Syed Saddiq pada mulanya didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyalahgunakan sebanyak RM120,000 daripada dana Pemuda Bersatu (Armada) dengan memaksa bekas penolong bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, membelanjakan dana tersebut antara 8 hingga 21 April 2018.
Bekas Presiden Muda itu juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana menghasut Rafiq, yang diberi amanah untuk mengurus dana Armada berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah jenayah pada 6 Mac 2020.

Selain itu, ahli parlimen itu didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram melalui transaksi RM50,000 setiap satu dari akaun Maybank Islamic Bhd miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan pengubahan wang haram itu dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syed Saddiq ketika mempertahankan dirinya di Mahkamah Tinggi berkata, dana yang dipindahkan ke akaun ASB berkenaan diperoleh melalui dua acara pengumpulan dana dan bertujuan membiayai kempen politiknya pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Dia dibebaskan daripada semua pertuduhan pada 25 Jun, selepas panel hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya.
Pada ketika itu, panel hakim yang diketuai oleh hakim Zaidi Ibrahim dan dianggotai Azman Abdullah, dan Noorin Badaruddin mendapati Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana tidak menilai sepenuhnya keseluruhan pembelaan Syed Saddiq, yang menyebabkan dia disabitkan pada 9 Nov 2023.
