Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larangan umur guna media sosial saja tak selesaikan masalah - Unicef
Diterbitkan:  Dec 12, 2025 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) hari ini meminta Putrajaya merangka pendekatan komprehensif bagi memastikan keselamatan kanak-kanak pengguna perkhidmatan dalam talian dan tidak bergantung semata-mata kepada rancangan untuk mengenakan larangan umur media sosial.

Dalam satu kenyataan, agensi itu berkata, sekatan umur sahaja tidak akan memastikan kanak-kanak selamat dan malah mungkin membawa akibat yang tidak diingini, termasuk mendorong golongan terbabit mencari cara lain melayari alam maya melalui platform yang kurang dikawal selia.

Tindakan penguatkuasaan sedemikian, tegas timbalan wakil Unicef ​​ke Malaysia, Sanja Saranovic, mesti menjadi sebahagian daripada pendekatan yang lebih luas.

"Keluarga terbeban. Kanak-kanak menghadapi buli, dandanan dan eksploitasi seksual dalam talian, dan status quo jelas mengecewakan mereka.

"Tetapi dengan hanya melarang pengguna yang lebih muda daripada media sosial tidak akan menyelesaikan masalah.

"Ramai kanak-kanak masih akan mencari cara untuk masuk ke dalam talian, selalunya melalui platform yang kurang dikawal selia yang lebih sukar untuk melindungi mereka dan mereka kurang berkemungkinan untuk mendapatkan bantuan apabila sesuatu berlaku," katanya.

Respons agensi PBB itu datang hanya beberapa minggu sebelum kerajaan dijadualkan mengharamkan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

Putrajaya mengambil langkah tersebut sebagai sebahagian daripada kaedah perlindungan yang lebih luas mengikut Akta Keselamatan Dalam Talian yang berkuat kuasa 1 Jan nanti.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semasa mengumumkan keputusan itu bulan lalu berkata rakyat Malaysia yang berusia kurang daripada 16 tahun tidak akan dibenarkan mendaftar untuk akaun media sosial mulai tahun depan.

Unicef ​​berkata media sosial bukanlah satu kemewahan bagi kebanyakan kanak-kanak, terutamanya mereka yang terasing, terpinggir, atau hidup dengan orang kurang upaya.

Platform digital pula, katanya, boleh menyediakan peluang penting untuk pembelajaran, hubungan, bermain dan ekspresi diri.

"Sebarang langkah untuk melindungi kanak-kanak mesti diimbangi antara aspek keselamatan dengan hak mereka untuk terlibat, mendapat maklumat dan privasi," katanya.

Justeru Unicef ​​menggesa kerajaan mengambil pendekatan yang komprehensif dan berasaskan hak kanak-kanak, termasuk mendorong tanggungjawab yang lebih kuat di platform media sosial, menggunakan reka bentuk dan alat yang sesuai dengan usia, dan menyediakan sokongan untuk ibu bapa, penjaga dan sekolah.

"Keselamatan dalam talian tidak boleh bergantung pada penguatkuasaan sahaja.

"Platform, pengawal selia, keluarga, sekolah dan komuniti mesti bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat, inklusif dan menghormati hak untuk setiap kanak-kanak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS