Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa, menepis dakwaan bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim terlalu berhati-hati menangani gelagat pemimpin parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk kelantangan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh.
Menurutnya, Anwar selaku ketua kerajaan telah banyak kali memberi peringatan umum mengenai kepentingan menghormati sesama parti gabungan, walaupun tidak merujuk secara spesifik kepada individu tertentu.
“Sebagai orang tua yang duduk di atas, dia (perdana menteri) banyak kali dah menegur walaupun tidak secara khusus kepada tindak tanduk Akmal Salleh itu.
“Dia (Anwar) menegur tentang bagaimana di dalam (kerajaan) Perpaduan kita perlu hormat menghormati dan dia sendiri kita kenali, banyak kali menegur akhlak-akhlak hidup bersama kaum, sebab kita membawa benda besar iaitu Madani.
“Salah satu daripada (prinsip) Madani itu ialah ia meletakkan apa itu hormat menghormati sebagai salah satu daripada apa kita kata asas hubungan antara kaum.
“Jadi bagi saya dia tak perlu nak spesifik tunjuk orang tertentu, dan bukan level dia.. Dia Anwar kot dan Rafizi Ramli pun takkanlah dia tak faham kedudukan sebagai perdana menteri.
“Saya pun tak setuju dia (Anwar) nak layan ‘budak-budak’ ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Rafizi Ramli mendakwa menteri-menteri daripada PH termasuk Anwar terlalu berlembut terhadap Akmal dan keadaan itu dibimbangi menggugat kestabilan kerajaan Perpaduan.
Menurut bekas timbalan presiden PKR itu, beberapa isu seprti isu stoking, bendera terbalik serta kenyataan-kenyataan bernada perkauman telah memberi petunjuk yang sangat salah kepada pengundi Cina.
Katanya, setiap kali Ketua Pemuda Umno itu mengeluarkan kenyataan, kerajaan Perpaduan akan mengambil masa beberapa hari sebelum dapat memberi maklum balas berhubung isu terbabit.
Bahkan, katanya menteri-menteri daripada PH tidak dibenarkan untuk memberi sebarang komen kerana dibimbangi menggugat kestabilan kerajaan yang turut dianggotai Umno dan BN.
Mengulas lanjut Mujahid berkata tindakan Akmal tidak mencerminkan pendirian rasmi Umno, apatah lagi dia tidak mendapat sokongan keseluruhan sayap pemuda parti itu.
“Kalau pendirian rasmi, mestilah (presiden Umno, Ahmad) Zahid kata kita sokong bendera terbalik.
"Tindakan Akmal ‘mati’ pada tubuh badan Akmal saja. Jadi kenapa pula PM nak anggap ia masalah negara?”soalnya.
Sementara itu, veteran PKR, Hassan Abdul Karim, turut tampil mempertahankan presiden partinya itu.
Hassan berpendapat terdapat “sempadan” yang tidak boleh dilintasi perdana menteri dalam kerangka kerajaan perpaduan semasa, di mana Umno memegang peranan sebagai “rakan strategik”.

“Biarkan presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) mengawal Akmal, jika perlu.
“Anwar sebagai presiden PKR sepatutnya bimbang tentang ketua Pemuda PKR sendiri, yang (nampaknya) kehilangan suara dalam politik nasional kerana terlalu berhati-hati dan sering menurut sahaja.
“Rafizi juga sepatutnya lebih prihatin terhadap kepimpinan Pemuda PKR yang lemah dan biarkan Akmal bergerak,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu kepada Malaysiakini.
Malaysiakini turut menghubungi bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi berkata, berdasarkan “pemahaman umum”, isu seumpama it perlu ditangani dengan berhati-hati demi melindungi kerajaan perpaduan.
Namun, Ahli Parlimen Setiawangsa itu senada dengan dakwaan Rafizi bahawa Anwar “terlalu berhati-hati” kerana tidak menegur Akmal, terutamanya memandangkan ketua pemuda Umno itu kerap mengulangi tindakannya.
