Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MIC Perak pula pertikai pelantikan Rider Gate jadi ejen JPJ
Diterbitkan:  Dec 12, 2025 8:30 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Pemuda MIC Perak hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap pelantikan syarikat Rider Gate Sdn Bhd (Rider Gate) sebagai ejen kutipan sah bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mendesak kerajaan untuk memastikan keselamatan data rakyat Malaysia tidak dikorbankan, ketuanya, Theeageesh Ganesan, berkata ketika ini wujud kekurangan rekod data transaksi oleh penyedia perkhidmatan sedia ada.

Katanya, kekurangan sedemikian hanya menimbulkan rasa tidak senang terhadap langkah kerajaan untuk memberikan lesen kepada penyedia perkhidmatan baru – seperti Rider Gate – untuk mendapat akses kepada data berjuta-juta pengguna Malaysia.

"Apakah rasional Kementerian Pengangkutan Malaysia memberi akses data peribadi rakyat Malaysia kepada sebuah syarikat yang baru didaftar pada 2023, lebih-lebih lagi yang terlibat di dalam sektor urus niaga permotoran?

"Apakah langkah-langkah keselamatan yang diambil bagi memastikan keselamatan data dan akses pangkalan data dikaji dan dilaksanakan?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Theeageesh juga mendakwa, memandangkan tiada bukti atau rekod tentang bagaimana ejen sedia ada meningkatkan kecekapan atau mengurangkan ralat transaksi sepanjang operasi mereka, sokongan kerajaan terhadap ejen terbabit tidak memberikan keyakinan.

"Pada masa yang sama, tiada bukti dan rekod bagaimana ejen sedia ada (seperti MyEG) meningkatkan kecekapan atau mengurangkan kesilapan transaksi sepanjang operasi mereka. Ini juga bagai melemahkan hujah pelantikan ejen baru memudahkan operasi tanpa data sokongan.

"Maka, Pemuda MIC Perak menyarankan kerajaan mengkaji semula aspek keselamatan data pengguna sebelum kontrak sedemikian ditawarkan kepada penyedia perkhidmatan baru di bawah apa juga kementerian mahupun jabatan.

“Pastikan keselamatan data rakyat Malaysia tidak digadaikan," katanya.

Theeageesh Ganesan

Theeageesh juga membidas jaminan Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini yang pelantikan Rider Gate bukanlah langkah untuk menjana keuntungan bagi syarikat swasta, sebaliknya inisiatif untuk memperkemas perkhidmatan awam melalui pendigitalan.

"Kenyataan JPJ dan menteri tersebut hanya mengundang pelbagai persoalan dan keraguan. Walaupun menafikan komisen, Loke tak jelaskan ‘caj nominal’ yang dikenakan oleh Rider Gate.

"Ini boleh dilihat sebagai beban tersembunyi kepada pengguna, berbeza dengan transaksi percuma melalui MyJPJ," katanya.

Rakyat mesti sentiasa tahu

Pada 8 Dis lalu Rider Gate yang juga anak syarikat Ramssol Group Bhd diumum sebagai ejen kutipan bagi pihak JPJ untuk urusan pemindahan pemilikan kenderaan bermotor, pembaharuan lesen kenderaan bermotor dan pembayaran saman trafik.

Sistem itu menyediakan pelaporan masa nyata kepada JPJ dan kementerian, memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Dua hari kemudian Loke menjelaskan bahawa JPJ ada membayar sebarang bentuk komisen kepada ejennya, bahkan memberitahu syarikat sedemikian dikehendaki menyerahkan 100 peratus jumlah yang dikutip kepada kerajaan.

Menteri itu menekankan sejak 2016, terdapat 10 ejen kutipan yang turut menawarkan perkhidmatan sama sebagai saluran tambahan untuk urusan seperti memperbaharui cukai jalan, pemindahan pemilikan dan pembayaran saman.

"Pembangkang mendakwa bahawa ejen kutipan kini akan mendapat komisen daripada setiap transaksi JPJ. Ia memang kedengaran sangat lumayan jika anda mendengar naratif pembangkang.

"Apa yang menarik ialah kerajaan PN juga melantik ejen kutipan pada 29 April 2022, namun ia tidak pernah digambarkan sebagai mengaut keuntungan atau menjual JPJ  kerana mereka tahu apa yang mereka sebarkan sekarang adalah palsu," kata Loke dalam catatan Facebook ketika itu.

Anthony Loke

Kenyataan tersebut dibuat selepas PAS mempersoalkan keputusan melantik Rider Gate dengan pengarah jabatan penyelidikan dan dasar jawatankuasa maklumat parti itu, Nurul Islam Yusoff, menegaskan perkhidmatan yang ditawarkan oleh ejen kutipan boleh diakses melalui aplikasi MySikap dan MyJPJ.

Dia juga mendakwa semakan latar belakang Rider Gate menunjukkan syarikat itu ditubuhkan pada 19 Okt 2023 dan rekod kewangannya tidak menggalakkan sejak itu.

Nurul Islam turut menggesa Loke menjelaskan kaedah perolehan dan pemilihan Rider Gate sambil mempersoalkan mengapa syarikat lain yang lebih berkemampuan tidak dipertimbangkan.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan, juga membangkitkan kebimbangan yang sama lantas menggesa kementerian pengangkutan menjelaskan sama ada proses tender terbuka telah dipatuhi atau tidak, dan jika syarikat lain turut dipertimbangkan.

"Perkhidmatan awam dengan cara ini tidak boleh dilakukan melalui temu janji dalaman atau perjanjian tertutup; rakyat Malaysia mesti sentiasa dimaklumkan.

“Jika kita sudah mempunyai sistem kerajaan yang komprehensif, mengapa dilantik syarikat swasta untuk menyediakan perkhidmatan yang sama?

"Adakah JPJ tidak dapat mengendalikan jumlah pengguna? Adakah terdapat kelemahan teknikal yang besar? Atau adakah ruang pasaran sengaja dibuka untuk diisi oleh pihak tertentu?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS