Veteran Umno Malaysia menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana disifatkan tegas mempertahankan pendirian kerajaan untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti mana desakan DAP.
Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub berkata ketegasan itu menunjukkan kerajaan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba mencabar dasar pendidikan sedia ada, khususnya kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras dalam sistem peperiksaan negara.
"Veteran yakin PMX tetap dengan ketegasan itu demi mendaulatkan Bahasa Melayu yang menjadi teras utama dasar pelajaran negara," katanya dalam kenyataan.
Mustapha turut menggesa DAP agar berhenti menggunakan isu berkenaan demi kepentingan “politik sempit” mereka.
“Veteran meminta DAP supaya berhenti dari menggunakan isu UEC untuk kepentingan politik sempit mereka bagi mendapat sokongan orang Cina menjelang PRN Melaka dan Johor serta PRU16.
"DAP tertekan setelah Cina Sabah menolak parti itu dalam PRN yang baru lalu. Jadi mereka menggunakan UEC untuk mengekalkan sokongan Cina di Semenanjung,” katanya.
Tambahnya, parti itu wajib menyokong dan mendukung Dasar Pendidikan Negara yang telah dipersetujui bersama sejak Penyata Razak yang digubal bersama oleh kaum Cina dan India dan bukannya menjadi isu UEC untuk kepentingan politik.
Terdahulu Anwar hari ini berkata prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.
“Kebelakangan ini ada suara pelbagai tuntutan soal bahasa, ada yang nak tekankan bahasa Inggeris, ada yang nak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Saya nak jelaskan begini - ini Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dilapor sebagai berkata parti itu akan berjumpa dengan perdana menteri berhubung pengiktirafan UEC.
