Penganut Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman di Taman Koperasi Cuepacs, Kajang, mendakwa mereka terpaksa menggunakan laluan sejauh enam kilometer untuk ke rumah ibadat mereka walaupun kuil itu hanya 50 meter dari kawasan kediaman.
Mereka juga mengecam Adun Kajang, David Cheong, yang didakwa menghalang pembinaan akses jalan lebih dekat ke kuil berkenaan atas sebab politik.
Menurut Persatuan Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersama beberapa pemimpin kerajaan negeri menjadi punca pembinaan jalan masuk ke kuil itu terus tertangguh walaupun semua kelulusan telah diberikan sejak 2017.
Tanah seluas 1,731 meter persegi di Taman Koperasi Cuepacs itu diserahkan kepada persatuan berkenaan sejak 1988 melalui geran kekal, namun akses fizikal ke tapak kuil masih tidak dapat dibina kerana pelbagai syarat dan halangan yang didakwa tidak munasabah.
Menurut timbalan pengerusi persatuan, Tanabalan Arumugam, 53, masalah bermula apabila MPKj meletakkan syarat jalan masuk melalui tanah rizab selebar 66 kaki di Jalan 5H, yang menurutnya "tidak realistik".
"Mereka tahu memang tak ada tanah selebar 66 kaki di situ. Tapi kami tetap setuju sebab tak mahu proses tergendala," katanya.
Katanya, MPKj memberi kelulusan lanjutan pada 2019 dan sekali lagi pada 2024.
Persatuan mendakwa syarat-syarat itu bercanggah antara satu sama lain, termasuk larangan menggunakan Jalan 2B yang sebelum ini dibenarkan sebagai akses sementara.
"Surat kelulusan 2024 pula mewajibkan persatuan membina sendiri jalan rizab dan menyerahkannya kepada MPKj tetapi persatuan mendakwa kerja tetap tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa. Kelulusan ada atas kertas. Bila kami nak mula, mereka kata tak boleh. Macam mana?" soal Tanabalan.

Menurutnya, punca utama jalan itu tidak boleh dibina ialah kewujudan satu rumah setinggan yang telah dikosongkan dan sebuah garaj kereta haram di Jalan 5H.
Tambahnya, walaupun MPKj pernah mengeluarkan dua notis pengusiran pada 2024, sebuah gabungan persatuan penduduk membantah perobohan garaj tersebut, sebaliknya menuntut agar kuil itu sendiri dirobohkan.
"Garaj haram dilindungi, tapi kuil atas tanah sendiri disuruh roboh. Logik apa ini?" katanya.
Dakwaan majoriti penduduk beragama Islam
Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs Fasa 2 sebelum ini membantah cadangan MPKj merobohkan struktur tersebut dan menolak pembinaan kuil serta jalan masuk melalui kawasan perumahan atas alasan majoriti penduduk beragama Islam.
Namun, Tanabalan menolak dakwaan itu dan mendakwa pengerusi gabungan penduduk yang lantang menentang pembinaan kuil itu bukan penduduk Kajang.

"Pertama, majoriti pemilik rumah di sini adalah bukan Melayu. Itu fakta yang mudah disemak. Tapi MPKj tetap guna alasan itu untuk halang kami.
“Yang kedua, pengerusi persatuan itu pengundi Semenyih. Rumah ayah dia saja di sini. Tapi suara dia lebih kuat daripada hak pemilik rumah di kawasan ini. Kuil sah, garaj yang haram tapi kami yang tersekat," katanya.
Tanabalan menegaskan kawasan itu tidak mempunyai mana-mana kuil Hindu dalam radius 10 km, menyebabkan komuniti setempat tiada rumah ibadat selain sebuah rumah ibadat di tanah persendirian yang boleh dirobohkan bila-bila masa.
Walaupun MPKj pada Mei 2025 meluluskan Pelan Bangunan untuk tujuan CCC dalam masa setahun, kuil itu masih tidak dapat digunakan kerana ketiadaan laluan masuk.
"Kuil kami bukan haram. Tanah kami sendiri, geran sah, pelan sah. Tapi tak boleh guna sebab satu garaj haram. Itu saja," katanya.
Dakwaan campur tangan politik
Situasi itu, menurut Tanabalan, menjadi lebih rumit selepas campur tangan politik menjelang PRK Kuala Kubu Bharu.
Pertemuan dengan Cheong pada Oktober lalu juga, katanya, mengundang persoalan apabila wakil rakyat itu mencadangkan pembinaan jalan baru bernilai RM3.3 juta yang memerlukan pengguna memandu enam hingga tujuh kilometer untuk sampai ke kuil berkenaan.
"Adun Kajang sendiri beritahu tak boleh sentuh garaj itu sebab takut undi lari di PRK KKB kepada calon PH. Sedangkan jarak sebenar dari rumah ke kuil cuma 50 meter.
“Kenapa nak belanja duit rakyat berjuta-juta semata-mata nak selamatkan satu struktur haram? Cadangan RM3.3 juta pun tak ada hitam putih, hanya cakap-cakap. Kami cuma mahu undang-undang ditegakkan," katanya.
Ketika dihubungi Cheong menafikan dakwaan pihak kuil bahawa dia mempertahankan garaj tersebut.
“Cuma saya minta pihak kuil untuk selesaikan isu jalan sebelum merobohkan garaj tersebut," katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.
Ahli Majlis (Zon 9) MPKj, Siti Razimi, enggan memberi sebarang ulasan atas alasan kesihatan.
"Saya baru membuat pembedahan. Saya tidak dapat buat komen buat masa ini," katanya.
Sementara itu, Tanabalan mendakwa cubaan mereka untuk membawa isu itu kepada Exco Selangor, V Papparaidu, gagal kerana tiada perkembangan selepas dua bulan.
Dia menambah, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, pula mengambil pendekatan berdiam diri.
"Mereka semua cuci tangan. Kami pula yang terperangkap. Kami nak MPKj melaksanakan undang-undang tanpa pilih kasih.
“Robohkan garaj haram itu dan benarkan kami bina jalan yang MPKj sendiri tetapkan. Itu saja. Ini bukan soal kaum atau agama, tapi soal hak tanah dan integriti pentadbiran. Jangan jadikan kuil kami mangsa permainan politik," katanya.

Syahredzan ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia difahamkan perkara itu telah dibawa kepada perhatian Papparaidu.
"Papparaidu sendiri telah mempengerusikan mesyuarat sebelum ini mengenai isu ini, dan saya dimaklumkan bahawa perkara ini akan diangkat ke peringkat Kerajaan Negeri untuk mendapat keputusan yang tuntas.
“Saya percaya bahawa Kerajaan Negeri dan YB Exco sendiri akan mempertimbangkan semua aspek sebelum membuat keputusan," katanya.
Sementara itu, Papparaidu memberitahu isu akan dibawa ke Mesyuarat Tindakan Exco Negeri Selangor (MTES) yang akan datang.
"Pihak kuil telah berjumpa saya hampir sebulan yang lalu. Dan saya akan membawa isu ini ke MTES yang akan datang," katanya.
