Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Konvensyen Melayu 153 yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember sekali lagi membawa isu Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ke ruang perbincangan awam. Peruntukan ini, yang menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak serta kepentingan sah kaum lain, bukanlah perkara baharu. 

Ia telah lama menjadi asas pembinaan negara dan sering dikaitkan dengan semangat keadilan serta keseimbangan sosial. Namun, persoalan yang wajar dibangkitkan hari ini bukan sekadar tentang peruntukan itu sendiri, tetapi tentang bagaimana ia terus dijadikan alat dalam gelanggang politik.

Sejarah politik Melayu memperlihatkan bahawa konflik dalaman bukanlah sesuatu yang luar biasa. Namun, jika diteliti dengan jujur, banyak pergolakan sejak beberapa dekad lalu tidak lagi berpunca daripada perbezaan prinsip atau ideologi, sebaliknya berpusing di sekitar kuasa dan kedudukan. Politik identiti sering dijadikan saluran mudah untuk mengabsahkan perebutan pengaruh, sementara kepentingan rakyat kebanyakannya kekal di pinggir.

Apabila kuasa politik menjanjikan akses kepada kekayaan dan gaya hidup mewah, godaan untuk mempertahankannya menjadi terlalu besar. Dalam keadaan ini, sentimen bangsa mudah dieksploitasi. Retorik bahawa Melayu sedang terancam sering diulang bukan untuk membina kekuatan kolektif, tetapi untuk melindungi kedudukan segelintir individu. Lebih membimbangkan, pertembungan ini kerap berlaku sesama bangsa sendiri, menjadikan perpaduan sebagai mangsa utama.

Bagi mereka yang sudah memiliki kekayaan melalui perniagaan atau warisan keluarga, wang semata-mata tidak mencukupi tanpa kuasa politik. Maka, mereka mendekati politik dengan membawa naratif bangsa, menggunakan kekayaan untuk membeli pengaruh. Di pihak lain, ahli politik yang ada suara tetapi kekurangan dana pula memerlukan sokongan kewangan untuk terus relevan. Lahirlah hubungan saling bergantung, engkau bantu aku, aku bantu engkau. Kedua-duanya untung, sementara rakyat hanya menjadi bahan retorik.

Inilah kitaran yang terus dimainkan dengan naratif lama bahawa orang Melayu sentiasa ditindas. Apabila berkuasa, wang dan pengaruh digunakan untuk mengekalkan kedudukan. Apabila kehilangan kuasa, sentimen Melayu lemah kembali diangkat. Hakikatnya, ia jarang berkisar tentang nasib majoriti orang Melayu, tetapi lebih kepada soal siapa yang memegang kuasa dan siapa yang terpinggir daripada lingkaran elit.

Dalam politik, masalah sebenar bukanlah kuasa atau wang secara berasingan, tetapi gabungan kedua-duanya. Apabila kuasa dan wang bertemu, prinsip sering menjadi korban.

Dalam konteks ini, Konvensyen Melayu 153 wajar diteliti dengan lebih kritikal. Ia dipromosikan sebagai platform menghimpunkan bekas pemimpin negara, aktivis dan pemikir Melayu untuk membincangkan hala tuju bangsa. Namun, persoalan yang wajar ditanya ialah, sejauh mana perbincangan ini benar-benar menyentuh kehidupan majoriti orang Melayu, atau sekadar mengukuhkan pengaruh segelintir pemimpin yang ingin meneruskan legasi politik masing-masing.

Ini menunjukkan bahawa perbincangan sering berlegar pada soal siapa yang memerintah, bukan siapa yang dibela. Maka tidak hairan jika sebahagian besar orang Melayu tidak merasai manfaat sebenar daripada perjuangan yang kononnya dilakukan atas nama mereka.

Apa yang sepatutnya menjadi tumpuan utama ialah kemakmuran bersama rakyat Malaysia. Kemiskinan masih menjadi masalah besar tanpa mengira kaum. Kekurangan pendidikan, walaupun akses pendidikan disediakan, terus membelenggu golongan miskin. Golongan ini membentuk sebahagian besar kumpulan berpendapatan rendah, yang sering terpinggir daripada arus pembangunan.

Ramai orang Melayu, India, Cina serta Bumiputera Sabah dan Sarawak masih terperangkap dalam kitaran kemiskinan. Keadaan dijangka tidak bertambah baik apabila harga barangan keperluan asas terus meningkat. Orang Melayu berdepan isu ketagihan dadah yang tinggi, sementara masyarakat India dan Cina sering menyuarakan kebimbangan tentang peluang pekerjaan sektor awam serta keadilan dalam peluang ekonomi.

Anak-anak daripada keluarga miskin, tanpa mengira kaum, tercicir daripada sistem pendidikan lebih awal. Ini bukan masalah orang Melayu miskin, orang India miskin atau orang Cina miskin semata-mata. Ini adalah masalah rakyat Malaysia yang miskin. Mereka menderita dalam diam dan sering dilupakan dalam hiruk-pikuk politik identiti.

Persoalannya, siapa yang benar-benar mahu mengangkat suara golongan miskin ini?

Ramai pemimpin Melayu yang lantang bercakap tentang mempertahankan hak Bumiputera, tetapi keikhlasan mereka sering dipersoalkan. Ada antara mereka yang menggunakan isu ini semata-mata untuk kepentingan politik peribadi. Apabila tiba masa rakyat menggunakan kuasa melalui pilihan mereka, barulah realiti ini terserlah.

Tidak dinafikan, bukan semua pemimpin bersikap sedemikian. Namun, tidak boleh dinafikan juga bahawa ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan jawatan, bukan sekadar menggunakan wang, malah kepercayaan karut dan jalan pintas, demi memenuhi nafsu berkuasa. Kepimpinan dilihat sebagai laluan kepada kemewahan, bukan amanah untuk berkhidmat.

Sejarah mengingatkan kita bahawa perpecahan dalaman adalah racun paling berbahaya kepada sesebuah bangsa dan negara. Kejatuhan kuasa besar dunia tidak selalu berpunca daripada ancaman luar, tetapi daripada kegagalan kepimpinan menjaga kesatuan dan keadilan di dalam.

Jika Konvensyen Melayu 153 sekadar menjadi pentas untuk meneruskan kelangsungan politik segelintir pemimpin, maka ia tidak membawa makna kepada majoriti orang Melayu. Cukuplah menjadikan bangsa sebagai alat. Perjuangan sebenar bukan terletak pada retorik, tetapi pada keberanian untuk membela rakyat yang benar-benar memerlukan, tanpa mengira kaum, demi masa depan negara yang lebih adil dan bersatu.


MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dan kini menyertai PKR.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS