Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, tampil mempertahankan kepentingan penguasaan pelbagai bahasa apabila menyentuh isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan peranan bahasa Mandarin dalam sistem pendidikan negara.
Menurut Rafizi, Malaysia perlu bersiap sedia menjadi sebuah masyarakat tiga bahasa agar tidak ketinggalan dalam perubahan global yang semakin memberi keutamaan kepada Mandarin.
"Dunia sedang bergerak ke arah penguasaan bahasa Mandarin sebagai bahasa ilmu dan perdagangan, dan generasi muda Malaysia perlu bersedia menghadapi perubahan ini. Kita tidak boleh berpura-pura bahawa Mandarin tidak penting. Kepimpinan negara perlu mengakui bahawa kita sedang memasuki era masyarakat tiga bahasa.
"Generasi muda Malaysia yang lahir hari ini perlu menguasai ketiga-tiga bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam era globalisasi.

"Dalam 20 tahun lagi, jika tidak menguasai Mandarin, generasi kita akan menghadapi kesukaran kerana bahasa itu akan mengatasi bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tanpa penguasaan Mandarin, kita akan ketinggalan dalam 20 tahun akan datang. Inilah realiti yang perlu diterima," katanya melalui siaran Yang Berhenti Menteri.
Kenyataan Rafizi hadir beberapa jam selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu sensitif seperti UEC mesti mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Anwar turut mengingatkan bahawa bahasa Melayu tetap perlu dipertahankan dalam sebarang proses reformasi pendidikan.
Namun, pendirian itu mencetuskan perbandingan dengan kenyataan Anwar pada 2018 apabila dia berkata bahawa pengiktirafan UEC tidak akan menjejaskan bahasa kebangsaan.
UEC isu politik bukan pendidikan?
Mengulas lebih lanjut, Rafizi menyifatkan isu UEC sering digunakan sebagai “dopamin politik” oleh pelbagai parti termasuk DAP, Umno dan PAS.
"Realitinya hanya sebahagian kecil pelajar Cina di Malaysia yang mengambil peperiksaan ini. Daripada 400,000 pelajar Cina di sekolah menengah, hanya kira-kira 90,000 mengikuti UEC. Itu pun sekitar 20 peratus sahaja.
"Sebanyak 80 peratus pelajar Cina masih melalui sistem kebangsaan, manakala UEC hanyalah satu aliran kecil yang memberi peluang pendidikan tambahan dalam bahasa Mandarin.
"Isu UEC sering disensasikan oleh politikus sebagai isu besar, sedangkan realitinya ia hanya melibatkan sebahagian kecil pelajar. Perkara ini perlu dijernihkan supaya UEC tidak terus menjadi isu politik yang memecahbelahkan masyarakat," katanya.
Sejak kekalahan besar DAP dalam pilihan raya negeri Sabah, parti itu menjadikan pengiktirafan UEC sebagai sebahagian agenda reformasi.
Namun, Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh dengan pantas menyekat usaha DAP, apabila mengecam Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming kerana menyatakan hasrat membawa isu itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Akmal juga menuntut Anwar supaya jangan mengiktiraf UEC. Dia juga menegaskan bahawa sebagai menteri, Nga sepatutnya maklum tentang dasar pendidikan negara.
Sebelum ini, BN juga pernah menggunakan isu UEC untuk meraih sokongan pengundi Cina, termasuk janji pengiktirafan ketika era Najib Razak.
Walaupun mempertahankan nilai UEC, Rafizi menekankan kerajaan tidak boleh mengetepikan kedudukan bahasa Melayu.
Namun, bekas timbalan presiden itu bertegas bahawa kerajaan pada masa yang sama tidak boleh mengabaikan kepentingan bahasa Melayu.
"Integrasi elemen bahasa Melayu dan sejarah Malaysia dalam kurikulum UEC boleh menjadi titik pertemuan antara kerajaan dan komuniti Cina. Ini boleh memastikan generasi muda memahami jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia sambil menguasai bahasa kedua dan ketiga.
"Kalau kita mulakan dengan memahami kepentingan bahasa Mandarin, isu UEC boleh dilihat dari perspektif pembangunan negara, bukan semata-mata isu politik.
"Pengiktirafan UEC dan penguasaan bahasa Mandarin bukan ancaman kepada perpaduan nasional jika diurus dengan bijak. Ini adalah peluang untuk membina masyarakat yang lebih kompetitif dan masyarakat tiga bahasa," katanya.
