Perbincangan mengenai persaraan Azam Baki sebagai ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya mencetuskan usaha mereformasi cara pelantikan jawatan itu, kata badan pemantau rasuah, C4.
Menurut C4, kritikan terhadap Azam bukan hanya kerana pelantikan semulanya, tetapi kerana sistem pelantikan jawatan tersebut bermasalah.
“Kerajaan tidak wajar menganggap bantahan orang ramai hanya tertumpu kepada tempoh perkhidmatan Azam.
“Walaupun individu baru dilantik sebagai ketua SPRM, kelemahan dalam sistem sedia ada masih kekal.
“Kerajaan mesti segera melaksanakan reformasi struktur SPRM dengan segera serta melalui rundingan melibatkan semua pihak berkepentingan.
“Ini termasuk pelantikan dan penyingkiran Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui panggilan terbuka kepada calon serta proses pemilihan oleh Parlimen, seperti jawatankuasa pilihan parlimen,” katanya.
Azam sebelum ini memberi bayangan bahawa kontraknya mungkin tidak disambung semula selepas penggal ketiganya tamat pada Mei 2026.
Bekas menteri kabinet, Rafizi Ramli, berkata pelantikan semula Azam oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah menjejaskan agenda reformasi kerajaan.
Menurut C4, ketika ini proses pemilihan dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tertumpu sepenuhnya di tangan seorang individu iaitu perdana menteri.

Sebaliknya, menurut C4, proses ini perlu dilakukan secara demokrasi dan dibuat secara lebih telus dengan penglibatan parlimen.
“Langkah ini dapat mengurangkan konflik kepentingan dan mengelakkan kemungkinan calon dipilih berdasarkan kepentingan politik,” katanya.
Dalam masa sama, C4 berkata penubuhan Ombudsman baru untuk menangani aduan berkaitan salah tadbir dalam kementerian, agensi dan entiti berkaitan perlu dilaksanakan seiring dengan reformasi SPRM.
“Bidang kuasa Ombudsman perlu diperluaskan bagi menyiasat kes salah tadbir dalam SPRM dan agensi penguatkuasaan lain.
“Ombudsman Malaysia mesti diberi kuasa pemantauan luar terhadap SPRM bagi menangani isu salah laku dan salah tadbir, tanpa menjejaskan mekanisme pemantauan dalaman SPRM yang sedia ada,” jelasnya.
Kerajaan sebelum ini menyatakan bahawa rang undang-undang penubuhan Ombudsman dijangka dibentangkan pada awal tahun hadapan.
