Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dong Zong tak minta simpati tapi harap PM berani iktiraf UEC
Diterbitkan:  Dec 13, 2025 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Ketika polemik mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersaepadu (UEC) kembali mencetuskan perdebatan, Presiden Dong Zong Tan Yew Sing menyuarakan harapan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim memiliki “kebijaksanaan dan keberanian politik untuk mengatasi segala rintangan” demi memberikan pengiktirafan kepada UEC dan mengelakkan negara terus mengalami kehilangan tenaga mahir.

Namun, dia turut menegaskan pengiktirafan kerajaan bukanlah tujuan kewujudan UEC dan UEC sama sekali tidak akan mengorbankan ciri atau identitinya hanya untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.

Tan menyampaikan kenyataan itu semalam pada sidang media bersama yang dianjurkan oleh Dong Zong dan Hua Zong (Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia).

Dia merakamkan penghargaan Dong Zong kepada pihak kerajaan dan pembangkang atas usaha mereka memperjuangkan pengiktirafan UEC.

“[Namun] kami juga sedar realiti bahawa ada ahli politik yang menggunakan isu UEC untuk memanipulasi hubungan kaum, dan kami lebih berharap perdana menteri mempunyai kebijaksanaan dan keberanian politik untuk merentas duri dan semak.”

“Walaupun lebih awal UEC diiktiraf adalah lebih baik, UEC tidak pernah diwujudkan untuk tujuan pengiktirafan kerajaan dan ia sama sekali tidak akan mengorbankan ciri atau identitinya demi mendapatkan pengiktirafan tersebut.”

‘Sentiasa usaha perbaiki diri’

Tan turut menegaskan Dong Zong tidak akan merayu agar UEC diiktiraf, sebaliknya akan terus memperkukuh diri dan meningkatkan mutu UEC dari semasa ke semasa.

“Kepercayaan paling penting dalam keseluruhan sistem pendidikan Cina (di Malaysia) sentiasa berpaksikan prinsip: ‘Sebagaimana langit terus bergerak dengan penuh tenaga, insan mulia juga mesti sentiasa berusaha memperbaiki diri.’

"Kerajaan boleh datang dan pergi, kami tidak meminta simpati, kami tidak merayu dan kami juga tidak akan mudah berasa selesa; kami hanya akan berusaha menjadi lebih kuat.”

Gambar fail, Dong Zong mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 2024.

“Jika kita terus mara ke hadapan, sementara yang lain kekal di tempat sama, maka kita boleh melihat kembali perjalanan yang telah ditempuhi, terus memperbaiki diri dan melangkah yakin dengan senyuman.”

Tan Yew Sing turut memberi amaran bahawa jika kerajaan terus enggan mengiktiraf UEC, ia hanya akan merugikan negara dan mempercepatkan penghijrahan bakat dari Malaysia.

DAP bangkit isu UEC lepas 'terkubur' di DUN Sabah

DAP, selepas mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya negeri Sabah, kembali membangkitkan isu pengiktirafan UEC dalam usaha memulihkan sokongan dalam komuniti Cina. Namun langkah itu segera menerima tentangan daripada pelbagai pihak, termasuk Umno.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi respons kepada DAP tanpa menamakan parti itu, dengan menegaskan bahawa apa-apa tuntutan bahasa yang melibatkan satu kaum terlebih dahulu mesti menghormati kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kata Anwar selepas menghormati dan menguasai bahasa Melayu, “barulah kita dapat berbincang tentang hal-hal lain.”

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS