Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menafikan dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa dia mencuri wang daripada parti itu seperti yang disebut dalam klip video yang tular.
Penjelasan itu dibuat Muhyiddin meskipun semalam seorang pemimpin Pemuda Bersatu Johor mendakwa rakaman video berkenaan telah disunting dan dimanipulasi pihak tertentu.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah video yang tular bahawa saya telah mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah saya.
"Ini adalah tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas sama sekali.
"Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung," kata Muhyiddin dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial.

Muhyiddin berkata Mahathir yang juga pengasas dan bekas pengerusi Bersatu itu berkemungkinan mendapat maklumat yang tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Sebagai seorang negarawan, beliau sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap saya.
"Dalam banyak pertemuan saya dengannya, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini di hadapan saya.
"Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya.
Pada 12 Dis lalu, Pemuda Bersatu (Armada) Johor mendakwa klip video selama dua minit yang mengandungi tuduhan itu telah dimanipulasi oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan disebarkan melalui WhatsApp.
Ketua Armada Johor, Alias Rasman mendakwa Mahathir sebenarnya merujuk kepada orang lain dan bukan Muhyiddin, serta video itu telah “disunting” untuk kepentingan politik pihak tertentu.
Alias berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab menyunting video berkenaan.
Dalam kenyataannya, Muhyiddin berkata walaupun berdepan tuduhan tersebut, dia masih menghormati Dr Mahathir sebagai orang yang lebih tua.
"Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab," katanya.
Klip video itu mula tular di WhatsApp semalam, disertakan kapsyen mendakwa Mahathir mendedahkan kononnya Muhyiddin mahu menjadi perdana menteri kerana takut dipenjarakan.
Dalam rakaman itu, Mahathir kedengaran berkata seseorang “ada masalah” dan “mahu jadi perdana menteri bukan untuk berkhidmat” tetapi kerana bimbang masuk penjara.
“Pasai (pasal) kalau dia tak jadi PM, ada kemungkinan dia masuk dalam (penjara) pasal dia pun curi duit. Saya tahu.
“Duit parti, duit bagi kepada parti dia tak bagi pada parti, dia simpan di rumah dia dan duit tu la dia belanja,” katanya tanpa menyebut sebarang nama.
Dalam bahagian lain, Mahathir turut mengkritik Muhyiddin kerana tidak mengendahkan nasihatnya supaya tidak bekerjasama dengan Najib Razak.
