Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes tembak Durian Tunggal: Polis alih isu sebenar - peguam
Diterbitkan:  Dec 13, 2025 3:43 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Peguam kepada keluarga tiga lelaki yang ditembak mati polis dalam insiden Durian Tunggal pada 24 November lalu mengecam tindakan Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar yang didakwa cuba mengalihkan fokus daripada persoalan utama — penggunaan kuasa maut oleh pihak berkuasa.

Dalam kenyataan bersama hari ini, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh menegaskan bahawa pendedahan polis mengenai status perkahwinan serta dakwaan rekod jenayah lampau seorang wanita bernama Jayashree adalah tidak berkaitan sama sekali dengan isu sebenar.

"Sama ada Jayashree berkahwin secara sah atau mempunyai sebarang rekod lampau adalah langsung tidak relevan dengan pembunuhan tiga lelaki oleh tembakan polis pada 24 November 2025.

"Kenyataan-kenyataan tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan aspek kesahihan, keperluan, atau penggunaan kekerasan maut oleh pihak polis.

"Ini bukan satu siasatan terhadap moral atau hubungan peribadi. Ini adalah siasatan terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh pihak PDRM," kata peguam berkenaan pada satu kenyataan.

Peguam keluarga turut menyifatkan tindakan mendedahkan maklumat peribadi wanita tersebut sebagai usaha tersusun untuk memburukkan imej mangsa dan keluarga.

"Cubaan untuk mengaibkan kehidupan peribadi seorang Wanita secara terbuka kelihatan dirancang untuk mencemarkan nama baik si mati dan keluarga mereka, mengalihkan perhatian awam, serta mengelakkan akauntabiliti.

"Taktik sedemikian tidak wajar bagi seorang pegawai penguat kuasa undang-undang kanan dan melemahkan keyakinan awam terhadap integriti siasatan," kata mereka.

Polis fokus isu hubungan peribadi

Sebelum ini, polis Melaka mendedahkan wanita yang tampil sebagai isteri kepada salah seorang mangsa sebenarnya bukan pasangan sah, tetapi hanya kekasih yang tinggal bersama.

Dzulkhairi dipetik Bernama berkata siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun itu dan suspek hanyalah pasangan kekasih dan telah tinggal bersama-sama selama tiga tahun manakala isteri sebenar suspek pula berada di Johor.

“Wanita berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah sejak 2012 berkaitan kes curi kenderaan dan pernah ditahan di Jasin pada Julai lepas.

“Bapa wanita itu juga mempunyai 24 kes jenayah lampau dan kita masih mengesan lelaki ini kerana mempunyai dua laporan polis berkaitan kes curi kenderaan dan curi di dalam bangunan,” katanya.

Belum rekod keterangaan anggota

Peguam turut mempersoalkan ketelusan siasatan apabila kenyataan rasmi anggota polis yang melepaskan tembakan maut masih belum direkodkan sehingga kini.

Mereka memberi amaran bahawa keadaan ini menimbulkan keraguan serius mengenai kebebasan siasatan dan kemungkinan wujud perlindungan institusi.

"Perkara ini sahaja sudah menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan, ketidakberpihakan, dan kemungkinan perlindungan institusi terhadap diri sendiri.

"Keluarga mangsa menuntut jawapan kepada satu-satunya soalan yang benar-benar penting: Mengapakah tiga lelaki ditembak mati sedangkan bukti menunjukkan mereka telah ditahan dan tidak melakukan sebarang perbuatan ganas," kata mereka.

Peguam juga mempertikaikan tindakan ketua polis Melaka mengeluarkan kenyataan awam sedangkan siasatan telah diambil alih oleh Bukit Aman.

"Tiada sebarang bentuk pengaiban atau penghakiman moral akan mengaburkan fakta utama: tiga nyawa telah diragut tanpa sebarang asas undang-undang, dan pihak polis mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya di bawah undang-undang," tegas mereka lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS