Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | UEC dan asabiyyah Ibn Khaldun: Kesan terhadap perpaduan nasional

Perbincangan tentang Unified Examination Certificate (UEC) sering tertumpu kepada soal teknikal dan akademik. Namun, bagi negara majmuk seperti Malaysia, persoalan yang jauh lebih penting ialah bagaimana sistem pendidikan membentuk rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Dalam konteks ini, kedudukan Bahasa Melayu dalam UEC wajar diberi perhatian serius, kerana bahasa bukan sekadar satu mata pelajaran- bahasa ialah asas identiti dan jiwa kebangsaan.

Di sinilah teori asabiyyah Ibn Khaldun memberi panduan yang sangat bernilai.

Ibn Khaldun menjelaskan bahawa kekuatan sesebuah negara berpunca daripada asabiyyah, iaitu semangat solidariti yang menjadikan rakyat berasa sebahagian daripada satu komuniti yang bersatu.

Menurut beliau, sesebuah masyarakat hanya dapat bertahan apabila wujud ikatan sosial yang merentasi perbezaan, dan apabila rakyat berkongsi bahasa, nilai serta pengalaman yang mampu menyatukan mereka.

Dengan kerangka ini, persoalan yang muncul ialah: adakah struktur Bahasa Melayu dalam UEC hari ini membantu membina solidariti nasional atau melemahkannya?

Di sekolah menengah persendirian Cina, Bahasa Melayu diajar, tetapi tidak menjadi subjek teras, tidak menentukan kelulusan UEC, dan tidak digunakan sebagai bahasa akademik utama.

Keadaan ini menyebabkan tahap penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan sebahagian lepasan UEC tidak sepadan dengan keperluan kebangsaan. Ini bukan kelemahan pelajar, tetapi cerminan reka bentuk sistem yang tidak menempatkan bahasa kebangsaan pada kedudukan pusat.

Dalam realiti masyarakat berbilang kaum, jurang penguasaan bahasa membawa akibat yang lebih dalam: ia menghasilkan segregasi linguistik-keadaan di mana rakyat berbilang kaum hidup bersama tetapi berkomunikasi dalam bahasa kaum masing-masing.

Jurang bahasa bukan sekadar isu teknikal; ia mencipta jarak rasa, jarak kefahaman, dan akhirnya jarak kepercayaan.

Ibn Khaldun mengingatkan bahawa apabila bahasa dan pengalaman bersama semakin hilang, semangat kebersamaan yang menjadi tonggak negara akan melemah, dan kekuatan sosial mula merosot.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna UEC tidak boleh diterima di Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai aliran boleh wujud dan bahkan menjadi kekuatan kepada kepelbagaian negara. Namun, setiap aliran pendidikan mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk menyumbang kepada pembinaan identiti nasional. Tanpa asas yang dikongsi bersama—terutama Bahasa Melayu—sukar untuk mewujudkan masyarakat yang benar-benar bersatu.

Oleh itu, kedudukan Bahasa Melayu dalam UEC perlu diperkuatkan melalui penyelarasan kurikulum, peningkatan masa pembelajaran, serta penilaian yang lebih mantap. Ini bukan bentuk paksaan, tetapi langkah rasional untuk memastikan setiap generasi, tanpa mengira aliran pendidikan, mempunyai titik temu sebagai rakyat Malaysia.

Sebagai kesimpulan, isu UEC tidak boleh dipisahkan daripada isu perpaduan. Perlu diingat, secara teorinya, Bahasa Melayu adalah merupakan jambatan yang menghubungkan kelompok Melayu dengan bukan Melayu. Jika kita cuba mengaplikasikan teori asabiyyah dalam konteks negara kita, kitab oleh mengatakan masa depan perpaduan kaum pelbagai etnik di Malaysia mampu terus dipertahankan jika rakyatnya berkongsi bahasa, pengalaman dan mempunyai rasa kebersamaan.


WAN MOHD AZZIADI WAN ABD JALIL ialah calon PHD Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac-IIUM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS