Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas 21 tahun, keluarga bekas pekerja Ladang Semenyih terima kunci rumah

"Suami saya sudah tidak bersama saya, tetapi hari ini dia mungkin akan gembira melihat kita dengan bangganya". 

Demikian kata M Munihchy (gambar utama) yang berusia 70 tahun. Selepas penantian kira-kira 21 tahun, iaitu sejak 2004, kunci rumah yang dijanjikan itu kini berada di tangannya.

Suaminya pula meninggal dunia pada hari sama khidmatnya di Ladang Semenyih di Selangor ditamatkan. Sepanjang tempoh itu, dia bertahan dalam ketidakpastian, berdiri di persimpangan antara kehilangan dan usaha menuntut keadilan.

Dengan air mata kegembiraan, Munihchy mengimbas kembali detik-detik sukar apabila pekerja Ladang Semenyih menerima notis pemberhentian kerja pada 2004.

"Saya masih ingat, pada 21 Mac 2004, Pilihan Raya Umum ke -11 diadakan. BN memenangi pilihan raya dengan kemenangan besar, dengan 198 kerusi berbanding pembangkang 20 kerusi.

"Seminggu selepas itu, pekerja Ladang Semenyih dipecat dan diberi notis penamatan perkhidmatan. Notis pemberhentian telah diberikan kepada lebih 40 pekerja, tetapi itu bukan perkara yang paling mengejutkan pada hari itu.

"Suami saya, Mathuraveeran adalah setiausaha Kesatuan serta pengerusi kuil. Dia mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pada hari sama notis itu diterima.

"Bayangkan betapa notis ini telah menggerunkan keluarga-keluarga kami di sini," katanya ketika dihubungi.

Munihchy antara 34 keluarga bekas pekerja Ladang Semenyih yang menerima kunci rumah teres dua tingkat kos rendah daripada Sime Darby dalam satu majlis semalam.

Turut hadir di acara semalam adalah Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.

Berjuang sehingga capai penyelesaian

Bercakap dengan Malaysiakini, Arutchelvan yang berkongsi latar belakang perjuangan penduduk Ladang Semenyih berkata, sekitar 2008, Sime Darby telah menjual Ladang Semenyih kepada pihak ketiga.

Katanya lagi, para pekerja ladang yang telah menumpahkan khidmat sejak sekian lama kepada syarikat itu hanya mampu melihat rumah-rumah baru yang dibina di sekeliling mereka dan sekadar mampu bermimpi untuk memiliki rumah sendiri.

Bagaimanapun, katanya lagi, sebanyak 17 keluarga tetap bertahan di rumah kuarters mereka walaupun berdepan masalah air, pencemaran udara dan pelbagai ugutan, demi memperjuangkan hak rumah mereka.

Akhirnya penyelesaian dicapai pada 28 Februari 2017, iaitu 13 tahun selepas mereka menerima notis pemberhentian kerja, kata Arutchelvan.

Semalam, 17 keluarga tersebut mendapat rumah itu secara percuma manakala 17 keluarga lagi membelinya pada harga subsidi, iaitu RM42,000.

"Syabas dan terima kasih kepada Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) atas sokongan dan bimbingan berterusan sepanjang perjuangan bekas pekerja Ladang Semenyih.

"Ini adalah detik bersejarah bagi perjuangan pekerja ladang. Bekas pekerja Ladang Semenyih boleh berbangga kerana mereka telah berjuang sehingga mencapai kemenangan hari ini.

"Mereka boleh menang kerana berani berjuang. Kisah perjuangan di Ladang Semenyih ialah satu lagi contoh yang menunjukkan bahawa apabila anda berani berjuang, kemenangan bukanlah mustahil," katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi bekas pekerja, Papathi, 72, berkata dia tidak dapat menahan kegembiraan selepas menerima panggilan untuk mendapatkan kunci rumah sehari selepas ulang tahun ketiga pemergian suaminya.

"Saya berada di sini lebih 32 tahun. Suami saya, Chinnasamy meninggal dunia tiga tahun yang lalu. Semalam genap tiga tahun dia meninggal dunia.

"Selepas mengadakan upacara peringatan, saya mendapat panggilan dan diberitahu akan terima kunci rumah. Ini adalah keberkatan daripadanya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS